KUALA LUMPUR: Aksi berbahaya ala 'wheelie' seorang penunggang motosikal dipercayai dilihat di beberapa lokasi sekitar ibu kota dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) akhirnya memakan diri apabila dia ditahan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata lelaki berusia 21 tahun itu ditahan pada 7 malam semalam selepas aksi videonya tular di media sosial Khamis lepas.

"Semakan mendapati individu berkenaan pernah ditahan kerana melakukan kesalahan sama mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan 1987 pada 2018 dan dikenakan hukuman perintah khidmat masyarakat selama 12 bulan selain lesen memandu digantung selama dua tahun.

"Lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. Motosikal serta pakaian yang digunakan dalam video itu turut disita untuk siasatan lanjut," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata individu yang merakam video itu masih dikesan dan akan disiasat kerana bersubahat mengikut Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana- mana balai polis berhampiran.

Dalam perkembangan lain, di Bandar Sunway, Subang Jaya polis akan menjalankan siasatan terperinci susulan aduan seorang pengurus sebuah restoran yang tidak berpuas hati apabila pekerjanya didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) petang semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata pemeriksaan awal di restoran itu mendapati seorang lelaki sedang makan dan memakai pakaian biasa disyaki pelanggan.

"Memandangkan lelaki tersebut warganegara asing, dia perlu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk dibuat laporan tindakan kompaun.

"Siasatan terperinci akan dijalankan dan tindakan yang sewajarnya dari sudut tatatertib sekiranya wujud pelanggaran salah laku oleh anggota berkenaan akan dilakukan," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, tular kenyataan seorang pengurus restoran tidak berpuas hati dengan tindakan anggota polis mengenakan kompaun terhadap pekerjanya yang tidak memakai pakaian seragam ketika makan di premis itu kerana disangkakan pelanggan.

-- BERNAMA