KUALA LUMPUR: Kegagalan kerajaan untuk mencapai sasaran 30 juta pendaftar menjelang hujung bulan Mac ini harus dijadikan sebagai satu isyarat bahawa masih ada segelintir yang skeptikal tentang sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Menurut Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil, masalah itu tercetus akibat kurangnya komunikasi yang cermat dan akhirnya, ia membawa kepada pemahaman yang bersegmen dan kompleks.

“Daripada sudut politik, akan tercetus naratif politik. Dan daripada sudut pemain industri pula, ia akan bentuk pelbagai naratif yang kompleks.

“Apatah lagi masyarakat yang dipanggil netizen yang dicampur dalam pelbagai bentuk pemikiran... akan membentuk satu pemahaman yang berbeza.  

“Itu adalah perkara asas. (Selepas itu) baru kita pergi tengok apakah itu PADU? Kenapa kerajaan nakkan rakyat Malaysia mengisytiharkan maklumat-maklumat tertentu di dalam sistem ini?" katanya ketika wawancara dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.  

Dialog Tiga Penjuru: Dah Daftar PADU?

Tambahnya, tanpa stigma yang luas terhadap sistem ini, perkara ini tidak akan menjadi satu masalah.

“Ini adalah perkara yang biasa. Sebab mana-mana pengguna pun akan biasa kemas kini maklumat. Dalam telefon pintar kita sendiri pun dah berapa banyak aplikasi kita kongsikan maklumat kita," ujarnya.

Siraj juga menasihati kerajaan agar tidak memandang ringan dalam menyampaikan maklumat pencerahan tentang sistem PADU.

“Ini kalau dalam pemilihan raya ni, dah boleh kalah besar dah dengan jumlah 23 juta orang tak menyokong sistem PADU ni sebab rasa ragu-ragu dan tak yakin. Ini sepatutnya satu mesej yang kerajaan kena faham.

“Kalau ikut peratusan, majoriti masih lagi tidak mendaftar dan jumlah majoriti itu besar melibatkan lebih 20 juta orang yang tak mendaftar PADU ini,” jelasnya lagi.

Tambah Siraj, bila kerajaan memberi penjelasan terlebih dahulu, ia akan memberi jawapan yang lebih jelas kerana akhirnya, masyarakat akan turut berkongsi maklumat berkenaan.