SEREMBAN: Pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) memudahkan kerajaan negeri mendapat maklumat dan merancang belanjawan negeri dengan lebih tepat, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Justeru, beliau menyeru rakyat negeri ini mendaftar sistem itu secara dalam talian atau mengunjungi kaunter disediakan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi mendapatkan bantuan serta penerangan daripada pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) secara fizikal.

"Saya berharap PADU ini akan memudahkan kerajaan negeri dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat di negeri ini. Usaha ini juga memudahkan kerajaan negeri merancang belanjawan negeri dengan lebih tepat dan sampai kepada sasaran diharapkan.

"Seluruh rakyat di negeri ini disarankan berdaftar di sistem PADU, jangan berasa bimbang atau sukar kerana masih banyak masa lagi, hingga Mac ini," katanya kepada pemberita, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Pengarah DOSM negeri, Mohd Sawal Shakimon berkata, seramai 42,614 individu di negeri ini berjaya mendaftar PADU setakat semalam.

Beliau berkata, bagi memudahkan orang ramai mengemas kini maklumat dalam sistem PADU, terdapat 20 kaunter boleh dikunjungi iaitu 18 kaunter di PEDi, satu kaunter di DOSM Negeri Sembilan, Wisma Persekutuan dan satu di UTC Ampangan bagi tempoh 9-13 Jan ini (Fasa 2).

Maklumat lanjut berhubung pembukaan kaunter di PEDi boleh layari akaun Facebook DOSM Negeri Sembilan.

"Kami dalam usaha menghebahkan pelaksanaan PADU ini kepada orang ramai melalui kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta hebahan menerusi media sosial DOSM negeri di Facebook, TikTok dan X," katanya kepada Bernama.

Mohd Sawal berkata, 'flying squad' turut digerakkan di fasiliti PEDi dan UTC serta diperluaskan ke pejabat daerah dan mana-mana fasiliti kerajaan negeri yang strategik bagi penyediaan kaunter penerangan dan pendaftaran PADU.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga melaksanakan program bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri dan Lembaga Zakat Negeri Sembilan bagi menyantuni penduduk yang mempunyai masalah akses serta pergerakan.

"Kita juga akan membuka kaunter bergerak bagi kawasan 'hotspot' dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat kesihatan, pejabat penerangan, pejabat khidmat Parlimen dan wakil rakyat di negeri ini, termasuk di pejabat penghulu dan pusat komuniti," katanya. - BERNAMA