KUALA LUMPUR: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) adalah pencetus perubahan bagi pengurusan data di Malaysia, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pada masa ini, terdapat 455 institusi sektor awam di Malaysia merangkumi 70 kementerian, jabatan dan agensi, 13 kerajaan negeri, 83 badan berkanun Persekutuan, 134 badan berkanun negeri dan 155 pihak berkuasa tempatan.

"Bayangkan, sebelum ini, kalau nak berurusan dengan tiga institusi sektor awam, kita perlu isi banyak dokumen berbeza dan bawa berpuluh dokumen sokongan. Tapi maklumat yang diisi hampir sama.

"Sekarang, di bawah PADU, semua data di bawah satu bumbung. Rakyat tak perlu dah isi data berpuluh kali," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Fahmi juga menyatakan kesediaan mendaftar di laman sesawang PADU dan menyeru orang ramai untuk turut sama berbuat demikian di https://www.padu.gov.my/.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa merasmikan peluncuran PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya berkata pengenalan sistem itu adalah selaras pendekatan transformasi digital negara dengan jaminan bahawa setiap kemudahan kerajaan akan dinikmati penerima yang berhak.

PADU, yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara serta pemastautin tetap di Malaysia, adalah pangkalan data sosioekonomi negara bersepadu dengan menggabungkan data daripada jabatan dan agensi kerajaan.

Pendaftaran di platform untuk memberi gambaran yang adil mengenai kedudukan sosioekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia itu dibuka kepada orang ramai mulai hari ini hingga 31 Mac depan bagi mengemas kini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

-- BERNAMA