[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Pagar automatik di pintu masuk negara dipasang suku kedua tahun depan - Saifuddin Nasution

Bernama 01/10/2025 | 00:50 MYT
Saifuddin Nasution ketika menjadi panel Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 8 dengan topik 'Integriti dan Kepimpinan Nasional: Iltizam dan Reformasi Holistik dan Sistemik' di Kuala Lumpur malam tadi. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Pemasangan pagar automatik di pintu masuk negara di bawah seliaan Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan dimulakan pada suku kedua tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata penggunaan teknologi itu dapat meminimumkan urusan fizikal di kaunter pintu masuk negara, sekali gus melancarkan proses dan membantu menangani isu integriti.

"Langkah itu merupakan inisiatif penting bagi memperkukuh kawalan sempadan, sekali gus mengekang aktiviti penyeludupan dan mengurus isu pelarian di dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 8 dengan topik "Integriti dan Kepimpinan Nasional: Iltizam dan Reformasi Holistik dan Sistemik" yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini malam tadi.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merancang memasang 635 pagar automatik di 123 pintu masuk di bawah AKPS.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata integriti adalah aspek paling penting yang tidak boleh dikompromi dalam usaha menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Beliau berkata agensi penguatkuasaan di bawah KDN bertanggungjawab mengawal kawasan perairan negara seluas 600,000 kilometer persegi dan berdepan dengan pelbagai ancaman jenayah rentas sempadan.

Antara ancaman itu ialah penyeludupan membabitkan dadah, senjata api, minyak masak, diesel dan petrol, selain kegiatan lanun, kemasukan pendatang tanpa izin serta pelarian.

"Rantau kita adalah hotspot untuk dadah sintetik dan 80 peratus daripadanya masuk melalui jalan laut. Kita tidak boleh terus melakukan perkara yang sama berulang kali sambil mengharapkan hasil yang lebih baik. Oleh itu, kita perlu menerima pakai teknologi," katanya.

Turut sama dalam forum itu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Ahmad Ramdzan Daud serta wakil Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Datuk Abdul Rahman Embong.

-- BERNAMA


#Saifuddin Nasution #AKPS #pagar automatik #jenayah rentas sempadan