KUALA LUMPUR: Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengekalkan sekolah yang melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) sepenuhnya dalam sesi akademik pada tahun ini.

Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, mereka juga telah menyerahkan memorandum kepada menteri berkenaan dan meminta sokongan untuk mewujudkan lebih banyak DLP ke lebih banyak sekolah.

Terbaharu, menerusi memorandum yang disokong 35 kumpulan, mereka meminta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengikut garis panduan ditetapkan sebelum ini berkaitan isu tersebut.

Tegas Noor Azimah, KPM juga digesa memberikan autonomi kepada pengetua dan guru besar untuk melaksanakan pilihan ibu bapa dan tidak bersikap autokratik dalam mengeluarkan arahan.

“Kami mahu beliau berhenti menegaskan bahawa terdapat kelas bukan DLP di sekolah DLP kerana ibu bapa tidak mahu perkara itu kerana ia tiada dalam garis panduan. Kami terima baik garis panduan yang ada, kami juga mahu beliau mengikut garis panduan, bukan menambah semua peraturan baharu.

“Melalui memorandum kami, perkara lain yang telah ditambah ialah apabila pihak sekolah memohon DLP, kriteria dalam garis panduan sedia ada mengatakan, sekolah perlu memenuhi GPMP Bahasa Malaysia, untuk Tingkatan 5 dan setaraf dengan Darjah Enam.

“Jadi, kriteria menetapkan sekolah perlu memenuhi GPMP Bahasa Melayu ini atau mereka mesti menunjukkan peningkatan selama tiga tahun dalam BM. Kemudian mereka boleh memohon DLP,” katanya.

Justeru, kumpulan itu menggesa menteri untuk menghormati keputusan ibu bapa mengenai DLP dan bersikap adil kepada pelajar yang telah mendaftar dalam program itu.

Pada masa sama, kumpulan itu turut menggesa Fadhlina untuk membincangkan isu tersebut dengan ibu bapa bagi mendapat pandangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Tegas mereka, sebagaimana pelajar merupakan pemegang taruh penting dalam sistem pendidikan, ibu bapa juga sebenarnya memainkan peranan sama.