LIPIS: Kerajaan Pahang menerusi Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memberi jaminan mampu menyelesaikan masalah bekalan air bersih sebanyak 90 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ia apabila kesemua projek di kawasan yang dikenal pasti mengalami gangguan di setiap daerah, siap sepenuhnya, kata Ketua Pegawai Eksekutif PAIP Saiful Zaini Mohd Bokhari.

Menurutnya, menerusi peruntukan sebanyak RM2.3 bilion, PAIP  akan melaksanakan 217 projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) dan menggantikan paip lama serta peralatan tertentu, mulai tahun ini.

Sehingga kini, PAIP telah menyiapkan lima projek iaitu menaik taraf peralatan mekanikal dan elektrikal di LRA Seberang Tembeling dan naik taraf muka sauk di LRA Seberang Tembeling, kedua-duanya di Jerantut.

“Seterusnya, projek naik taraf sistem agihan di Bukit Koman, Raub; projek pemasangan pam di Kampung Gemuruh, Pekan; dan projek penggantian paip di Kampung Bolok Hilir, Temerloh.

“Enam lagi bilangan projek yang dijangka siap hujung tahun ini, dengan purata pembangunan semasa melebihi 60 peratus, ialah projek pemasangan pam di rumah pam Kobat, Kuantan; LRA Karak Fasa 2, Bentong; pemasangan pam air bersih di LRA Belimbing, Pekan; naik taraf sistem rawatan di LRA Seberang Tembeling, Jerantut; pemasangan kabel di muka sauk LRA Bera Kompleks, Bera; dan pemasangan paip dari Sungai Koyan ke Tanjung Gahai.

"Kesemua 11 projek ini, dianggar menelan belanja sebanyak RM12 juta, adalah sebahagian daripada 35 projek PAIP yang diberi keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PAIP yang dirasmikan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Fadzli Mohammad Kamal, mewakili Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di Kampung Lubuk Kulit, dekat sini, semalam.

Pada majlis tersebut, Fadzli turut menyampaikan bantuan wang tunai sumbangan PAIP dan kerajaan negeri kepada seramai 30 orang penduduk kurang berkemampuan.

Saiful Zaini berkata, masalah utama bekalan air kerap terganggu, iaitu paip pecah, tekanan rendah, banjir, kerosakan loji, gangguan di muka sauk ketika kemarau dan kapasiti tangki, merupakan antara punca utama yang dikenal pasti.

Pihak PAIP sedang berusaha membaik pulih secara berperingkat berasaskan peruntukan tersebut.

Jelasnya,  projek terbabit merupakan pelan secara holistik di bawah kerajaan negeri melibatkan kerja membaik pulih serta menaik taraf LRA, menukar paip lama berusia lebih 50 tahun, kerja kejuruteraan di muka sauk loji, pembinaan tangki, penggantian peralatan dan sebagainya.

"Komitmen PAIP juga sejajar dengan hasrat Wan Rosdy yang sentiasa mengambil berat serta memberi keutamaan kepada penyelesaian masalah air di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Saiful Zaini berkata, PAIP memperuntukkan sebanyak RM6 juta untuk projek menaik taraf LRA di Bukit Betong (Jelai) dan penggantian paip lama bagi kemudahan bekalan air ke Kampung Lubuk Kulit, Kampung Beletik, Kampung Sungai Ular dan Kampung Sungai Padi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Jelai - melibatkan sebanyak 3,724 akaun pengguna.

Ujarnya, PAIP amat memahami ketidakselesaan penduduk di beberapa kawasan terkesan dan prihatin dengan hal tersebut segera mengutamakan projek membaik pulih dan menaik taraf sehingga keadaan kembali pulih.

"Saya berharap penduduk di kawasan terlibat masalah bekalan air dapat memberi kami (PAIP) masa untuk merangka pelan projek dan kerja menaik taraf LRA, termasuk penggantian paip lama dengan lebih cepat dalam tempoh tersebut," katanya.