Skip to main content

Malaysia

Pahang catat 90 kes kebakaran terbuka dari 2 hingga 24 Ogos - JBPM

kebakaran puncak alam -- JBPM
Berdasarkan statistik, kawasan belukar dan lalang mencatat jumlah insiden tertinggi yang memerlukan respons pantas dari pelbagai Balai Bomba dan Penyelamat daerah. - Gambar hiasan/JBPM
Advertisement

KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang merekodkan sebanyak 90 kes kebakaran terbuka di kawasan semak, lalang dan hutan di seluruh negeri sepanjang tempoh 2 Ogos hingga 24 Ogos.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata berdasarkan statistik, kawasan belukar dan lalang mencatat jumlah insiden tertinggi yang memerlukan respons pantas dari pelbagai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah.

“Pada hari ini, kebakaran belukar dan hutan mencatatkan 13 kes,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata satu insiden kebakaran hutan seluas 10 ekar berhampiran zon penempatan penduduk dan laluan paip saluran gas Petronas dilaporkan berlaku di Perumahan Seri Mahkota Damai 11 di sini pada petang Isnin.

Mohd Salahuddin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.31 petang sebelum jentera pertama dari BBP Indera Mahkota tiba di lokasi 23 minit kemudian.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran salur bantu mula dan tambahan dua aliran hos 400 kaki daripada jentera pili bomba.

“Bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berisiko, operasi turut mendapat bantuan keanggotaan dan logistik daripada BBP Taman Tas, BBP Kuantan, BBP Peramu serta pasukan keselamatan Petronas,” katanya sambil menambah tiada mangsa dilaporkan terjejas dalam insiden itu.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement