[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Pahang guna semua peruntukan undang-undang, akan ambil semula tanah yang diceroboh - MB

Bernama 24/04/2025 | 11:15 MYT
Kerajaan Pahang akan menggunakan segala peruntukan undang-undang yang ada bagi memastikan setiap inci tanah yang diceroboh akan diambil dan dipulihkan semula, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - Gambar fail/BERNAMA
KUANTAN: Kerajaan Pahang akan menggunakan segala peruntukan undang-undang yang ada bagi memastikan setiap inci tanah yang diceroboh akan diambil dan dipulihkan semula, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ringkasan AI
  • Kerajaan Pahang akan bertindak tegas memulihkan semua tanah kerajaan yang diceroboh secara haram dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak.
  • Sejak 2019, sebanyak 23 operasi pemusnahan dilakukan terhadap pencerobohan tanah, dengan lebih banyak operasi dan projek pembangunan dirancang untuk negeri itu.
  • Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah Pahang 2025 diluluskan untuk memperkukuh sistem rayuan di Mahkamah Syariah negeri.

Beliau berkata percerobohan tanah adalah jenayah dan kerajaan negeri tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menceroboh tanah milik kerajaan secara haram.
"Tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencabuli kedaulatan dan maruah pentadbiran negeri ini. Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan, ugutan atau helah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, sama ada individu mahu pun kumpulan.
"Saya memberi amaran keras, jangan cabar ketegasan kerajaan negeri. Kerajaan negeri bersama agensi penguatkuasaan akan terus memperhebatkanoperasi pemantauan, penguatkuasaan dan tindakan undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata pihaknya akan akan memastikan tanah kerajaan dimanfaatkan untuk pembangunan negeri, demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan bukannya untuk kepentingan segelintir yang tamak dan tidak bertanggungjawab.
Sebelum ini, Sultan Pahang bertitah agar kemelut pencerobohan tanah secara haram di negeri itu dinoktahkan, apabila sebanyak 14,494.9 hektar tanah kerajaan telah diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.
Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan sejak penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 2019, sebanyak 23 operasi pemusnahan telah dijalankan melibatkan kawasan seluas 1,362 hektar dan lima lagi operasi tambahan telah dirancang untuk dilaksanakan tahun ini.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah mengemukakan 11 cadangan projek berimpak tinggi untuk dipertimbangkan dalam 'Rolling Plan' pertama, Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) 2026.
Beliau berkata antara projek yang terlibat adalah pembinaan Lingkaran Tengah Utara, Raub-Slim River, Perak dengan jumlah peruntukan RM3.936 bilion, menaik taraf Jalan FT012 Jalan Kuantan-Segamat, Rompin fasa 2 (RM 1.331 bilion) dan pembinaan Central Spine Road (CSR) pakej 6 dari Karak-Simpang Pelangai, Bentong (RM750 juta).
Hingga kini, beliau memaklumkan 114 daripada 217 projek pembangunan bekalan air Pahang telah siap dilaksanakan, manakala 32 projek sedang dalam pembinaan dan 71 projek sedang di peringkat prapembinaan.
Beliau berkata bermula tahun ini, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) akan melaksanakan kerja-kerja penggantian paip sepanjang 713.2 kilometer dengan RM205 juta menerusi peruntukan kerajaan Persekutuan dan RM134.6 juta ringgit menerusi pinjaman Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Pada persidangan itu, Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah Pahang 2025 turut diluluskan.
Wan Rosdy ketika ditemui pemberita berkata tujuan RUU berkenaan dilaksanakan bagi memberi peluang kepada pihak berkaitan untuk menyemak dan merayu di Mahkamah Syariah Utama selepas Mahkamah Rayuan Syariah.
Pahang mempunyai tiga peringkat undang-undang syariah kini iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.
-- BERNAMA
#Pahang #peruntukan undang-undang #ceroboh tanah #Wan Rosdy Wan Ismail