KUANTAN: Pahang memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah jalan raya rosak dan bekalan air di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata permohonan itu dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perjumpaan di Putrajaya semalam, yang turut disertai Pengarah Jabatan Kerja Raya Pahang Datuk Hafizah Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari.

"Kami telah membawa beberapa permohonan berhubung masalah jalan terutama Jalan Persekutuan dan masalah bekalan air untuk masyarakat di bandar dan luar bandar, jadi kita mohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya memberikan tambahan peruntukan supaya ia dapat diselesaikan.

"Saya yakin Perdana Menteri akan beri pertimbangan serius kerana kita bangkitkan ini untuk rakyat dan kita akan dapatkan perkembangan dari masa ke masa mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad di sini hari ini.

Pada majlis itu, Wan Rosdy memaklumkan kutipan hasil kerajaan negeri pada tahun lepas ialah RM1.306 bilion mengatasi tahun sebelumnya iaitu RM1.28 bilion, yang merupakan kutipan melebihi RM1 bilion untuk dua tahun berturut-turut.

Beliau juga memberi jaminan bantuan khas kewangan dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri pada tahun hadapan, jika kutipan hasil negeri pada 2024 mencecah RM1.6 bilion, melebihi daripada sasaran RM1.137 juta yang ditetapkan.

"Terima kasih kepada penjawat awam negeri atas usaha yang telah dilaksanakan sehingga kerajaan negeri mencapai kutipan hasil melebihi RM1 bilion untuk dua tahun berturut-turut.

"Apa yang kita dapat akan dikembalikan semula kepada rakyat termasuk penjawat awam... ini adalah sebagai motivasi kepada mereka.

"Bukan mudah untuk dapat jumlah itu tanpa membebankan rakyat, kita perlu menguruskan ketirisan dan kebocoran selain melihat peluang lain yang ada untuk tingkat hasil kepada kerajaan negeri," katanya.

Selain itu, Wan Rosdy berharap penjawat awam negeri menjadi mata dan telinga dalam melapokan isu mengenai pencerobohan tanah secara haram agar tindakan penguatkuasaan dapat diambil terhadap mereka yang terlibat.

-- BERNAMA