ROMPIN: Pahang telah menerima peruntukan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) untuk Pemuliharaan Biodiversiti sebanyak RM22.8 juta sejak 2019, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata bagi tahun ini pula sebanyak RM14 juta EFT telah disalurkan dan berharap ia dapat dimanfaatkan bagi melaksanakan program dan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan serta kepelbagaian biologi.

"Peruntukan EFT telah ditambah kepada RM200 juta pada tahun 2024 berbanding RM150 juta pada tahun ini, untuk memperkasakan kerajaan negeri memulihara dan mewartakan kawasan perlindungan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 Peringkat Pahang dan perasmian Pejabat Hutan Daerah Rompin di sini hari ini yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hari Hutan Antarabangsa disambut pada 21 Mac setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hutan serta pemeliharaan dan pemuliharaannya dengan tema sambutan pada tahun ini ialah Hutan dan Kesihatan.

Selain itu, Nik Nazmi memaklumkan sehingga kini 76.87 juta pokok telah ditanam di seluruh negara menerusi Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dan beliau menzahirkan harapan agar semua pihak terus menyokong agenda nasional berkenaan.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap, berkata Jabatan Perhutanan Pahang telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM104.6 juta setakat 31 Okt lepas.

Malah, beliau berkata bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini, jabatan berkenaan telah berjaya memastikan kutipan hasil melebihi RM100 juta setiap tahun yang dilihat antara lain turut menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah kutipan hasil di Pahang.

Menyentuh mengenai Pejabat Hutan Daerah Rompin, Wan Rosdy berkata pembinaan bangunan pejabat itu bermula pada November 2019 dan siap sepenuhnya pada Jun lepas dengan perbelanjaan kos sebanyak RM4.5 juta.

"Bangunan ini mempunyai ciri-ciri reka bentuk terkini dan dilengkapi kemudahan pejabat yang moden, secara tidak langsung ia memberi suntikan baharu dan dorongan semangat kepada warga kerjanya untuk memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan dalam pentadbiran dan pengurusan hutan daerah Rompin," katanya.

-- BERNAMA