MALAYSIA

Paip gas bocor di tapak ECRL, polis tutup jalan utama Kerteh-Ranggon

Bernama 20/09/2025 | 10:25 MYT
Kebocoran paip gas di tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen Lima, dekat Kerteh, pagi tadi. - Foto/ Media sosial
CHUKAI: Polis menutup laluan utama Kerteh-Ranggon kepada semua kenderaan susulan kebocoran paip gas Petronas Berhad (PGB) di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, di sini pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Polis menutup laluan utama Kerteh-Ranggon kepada semua kenderaan susulan kebocoran paip gas butane milik Petronas Berhad di Tapak Projek ECRL Seksyen 5, Kerteh, dan bekalan gas telah dihentikan sementara bagi kerja penyelenggaraan.
  • Lokasi kebocoran terletak dua kilometer dari jalan utama dan tidak melibatkan kawasan kediaman, dengan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah diaktifkan serta kawasan kejadian ditutup sepenuhnya daripada akses orang awam.
  • Polis menasihatkan orang awam agar tidak menghampiri lokasi kejadian dan akan menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa, sementara pemantauan rapi diteruskan bagi memastikan keselamatan awam terjamin.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan pada jam 9.53 pagi yang melaporkan terdapat kebocoran paip gas jenis butane dalam bentuk gas mudah terbakar.

Beliau berkata, lokasi kebocoran terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk.

"Langkah awal pihak polis ialah menutup sepenuhnya kawasan kejadian daripada akses orang awam dan pekerja.

"Bekalan gas di saluran paip gas yang bocor juga telah diberhentikan dan ditutup untuk sementara hingga selesai kerja penyelenggaraan oleh kontraktor.

"Laluan utama Kerteh-Ranggon juga ditutup kepada semua kenderaan bagi tujuan keselamatan manakala Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga telah diaktifkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Razi berkata, pihak berkuasa sedang memantau situasi dengan rapi dan orang awam dinasihatkan tidak menghampiri lokasi kejadian bagi mengelak insiden tidak diingini.

Selain itu, beliau berkata polis juga akan menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa dan orang awam diminta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di talian 09-8592222," katanya.


-- Bernama






#paip gas bocor #ECRL #video tular #Kerteh