PAJ diminta sediakan bas buat pejalan kaki RGL dan PCA

Bernama
Ogos 17, 2020 05:15 MYT
Sebahagian rakyat Malaysia mula tiba di pintu masuk darat Singapura pada hari pertama perlaksanaan rentas sempadan Malaysia-Singapura di bawah skim RGL dan PCA. Kelihatan penumpang yang berada di luar Woodlands Checkpoint. --fotoBERNAMA
Kerajaan negeri akan meminta Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) untuk menyediakan perkhidmatan bas bagi memudahkan pejalan kaki pergi dan balik di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) melalui Tambak Johor dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohd Solihan Badri berkata usaha itu diharapkan dapat meringankan beban pejalan kaki yang harus merentasi Tambak Johor berikutan pengangkutan awam sama ada masuk atau keluar melalui tambak itu masih tidak dibenarkan beroperasi setakat ini.
Katanya, satu perbincangan juga akan diadakan bagi memastikan perkhidmatan yang bakal disediakan itu tidak melanggar mana-mana peraturan.
“Kalau lihat di Tambak Johor hari ini, boleh nampak beberapa kumpulan yang berjalan kaki sambil mengusung beg, kita simpati dan sebab itu kita akan minta PAJ sediakan perkhidmatan bas dengan kebenaran pihak berkuasa sehingga ke sempadan Singapura.
“Pada masa sama juga, PAJ boleh ambil orang ramai yang berjalan kaki memasuki Malaysia melalui Tambak Johor. Kita akan guna bas coach kecil supaya mudah untuk buat pusingan-U di tambak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau rentas sempadan di bawah skim RGL dan PCA yang bermula hari ini.
BACA: Kuota RGL, PCA rentas sempadan Malaysia-Singapura 17-19 Ogos penuh
BACA: Pergerakan rentas sempadan Malaysia-Singapura dibuka hari ini
Turut hadir, Pengarah Imigresen Johor Baharuddin Tahir.
Terdahulu, beliau sempat meninjau proses perjalanan rentas sempadan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Mohd Solihan berkata dari pukul 7 pagi sehingga 9.30 pagi tadi, kira-kira 300 orang sudah melepasi sempadan memasuki Malaysia menerusi Tambak Johor.
BACA: Kerajaan sudah siap sepenuhnya pergerakan rentas sempadan Malaysia-Singapura esok
Sementara itu, Baharuddin berkata pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan untuk menyelaraskan waktu operasi Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah dekat Iskandar Puteri, sama seperti waktu operasi di BSI.
Katanya, setakat ini KSAB beroperasi selama 24 jam dan BSI pula bermula 7 pagi hingga 7 malam.
“Kita akan tinjau dahulu pelaksanaan rentas sempadan ini dalam tempoh masa tiga hari, jika selepas 7 malam, sambutan kurang menggalakkan di KSAB, saya akan cadang kepada kerajaan supaya waktu operasi RGL dan PCA di KSAB, sama seperti di BSI,” katanya.
-- BERNAMA
#bas #BSI #Exco #Gelang Patah #KSAB #Laluan Hijau Timbal Balik #Mohd Solihan Badri #PAJ #PCA #pejalan kaki #pengangkutan awam #Peraturan Ulang Alik Berkala #Perbadanan Pengangkutan Awam Johor #perjalanan #rentas sempadan #RGL #Tambak Johor