BUTTERWORTH: Pajakan tanah kilang penapisan gula milik MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) di Perai akan diteruskan selama 15 tahun lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Datuk Azhar Ahmad berkata, kilang itu tidak terlibat dalam projek pembangunan Kampung Manis dan akan terus beroperasi di atas tanah milik RAC.
"Projek kilang gula tidak terlibat (pembangunan Kampung Manis) dan ia masih beroperasi serta kita akan menandatangani perjanjian pajakan dengan kilang gula itu (dalam masa terdekat).
"Perjanjian pajakan bagi kilang itu akan dimeterai antara pihak berkaitan dengan tempoh pajakan ditetapkan selama 15 tahun," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian dan Penyerahan Surat Niat Kepada Penerima Rumah MutiaraKu (RMKu) bagi tujuan pengosongan tapak serta penempatan semula penghuni Kampung Manis, di sini, pada Ahad.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo.
Status operasi kilang gula itu menjadi persoalan susulan pelaksanaan projek pembangunan semula Kampung Manis melibatkan tanah milik RAC di sebahagian Lot 286, Lot 65 dan Lot 67, Bandar Perai, dengan keluasan keseluruhan 1.61 hektar termasuk penempatan semula penduduk di kawasan berkenaan.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan akan membawa permohonan MSM ke Kabinet bagi melanjutkan tempoh pajakan tanah kilang berkenaan.
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) turut meminta Kerajaan Pulau Pinang dan RAC mempertimbangkan permohonan melanjutkan pajakan tanah kilang itu hingga 30 tahun lagi.
Pengerusi FELDA ketika itu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilaporkan berkata, kedudukan strategik kilang berkenaan penting kepada operasi industri gula negara.
Kilang gula MSM di Perai beroperasi sejak 1964 antara kemudahan penting dalam industri gula negara dengan kedudukannya yang strategik berhampiran pelabuhan dan landasan kereta api.
-- BERNAMA