[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

'Pak guard' belasah isteri guna pedang samurai gara-gara aplikasi cari kenalan

Sinar Harian 25/04/2025 | 08:12 MYT
Suspek (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Seorang pengawal keselamatan yang ditahan pada Khamis selepas disyaki mencederakan isterinya menggunakan pedang samurai direman empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Ringkasan AI
  • Seorang pengawal keselamatan direman empat hari selepas disyaki mencederakan dan mengugut isterinya menggunakan pedang samurai akibat tuduhan curang.
  • Mangsa mengalami kecederaan fizikal dan ugutan bunuh, yang memaksanya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri.
  • Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan dan ugutan jenayah.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 27 tahun yang turut didakwa mengugut isterinya dikeluarkan oleh Majistret N Sivashangari bermula Jumaat sehingga Isnin ini.
Sumber berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek menuduh isterinya berusia 19 tahun berlaku curang setelah terlihat aplikasi mencari kenalan baharu di telefon bimbit milik mangsa pada 12 April lalu.
Menurutnya, namun mangsa menafikan melakukan perkara itu membuatkan lelaki terbabit berang lalu mengambil pedang samurai sepanjang 0.5 meter dari dalam almari bilik dan mengugut untuk membunuh isterinya itu supaya mengaku.
"Ketika itu pengadu berada di rumah keluarganya di Krubong sebelum suspek memeriksa telefon mangsa dan terjumpa aplikasi itu.
"Selain mengugut lelaki itu dipercayai memukul isteri menggunakan belakang pedang samurai di bahagian lengan kiri mengakibatkan terdapat kesan merah dan lebam," katanya.
Tambahnya, pergaduhan suami isteri itu berlarutan sehingga Isnin lalu apabila suspek tidak berpuas hati dan terus mendesak isterinya itu supaya mengaku curang.
Ujarnya, suspek kemudian bertindak mencekik leher pengadu dengan kuat dan menumbuk mukanya apabila mangsa masih menafikannya.
Malah suspek juga didakwa pernah mendesak mangsa untuk mengaku di hadapan keluarganya sambil mengeluarkan ugutan bunuh sebelum wanita itu membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak kerana bimbang keselamatan diri.
Penahanan reman suspek bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah. -- Sinar Harian
#pengawal keselamatan #cedera isteri #pedang samurai #aplikasi mencari kenalan