MALAYSIA

'Pak guard' terima lebih 2,000 hadiah, diraikan seperti raja sehari

Sinar Harian 03/11/2025 | 05:15 MYT
Wahab tidak dapat menahan sebak selepas menerima lebih 2,000 hadiah sempena hari persaraannya sehingga perlu diangkut menggunakan dua buah kereta. - Foto Sinar Harian
JELI: Seorang 'pak guard' yang dikenali sebagai Wahab Deris, 64, tidak dapat menahan sebak selepas menerima lebih 2,000 hadiah daripada pelajar serta guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 2, di sini sempena hari persaraannya pada Jumaat lalu.


Ringkasan AI
  • Wahab Deris, 64, pengawal keselamatan SK Jeli 2 diraikan meriah sempena persaraannya dengan lebih 2,000 hadiah daripada guru dan pelajar, serta diarak seperti raja sehari.
  • Majlis unik ini termasuk pelamin dan sesi bersanding bersama isterinya Zauwiyah Abdul Rani, 59, buat pertama kali selepas 43 tahun berkahwin kerana dahulu tidak mampu bersanding.
  • Wahab berkhidmat 12 tahun di sekolah tersebut dan menganggap layanan istimewa itu sebagai rezeki, sambil berterima kasih kepada guru besar, guru dan pelajar yang meraikannya.


Bapa kepada empat orang anak dari Kampung Kemang itu diraikan seperti raja sehari apabila diarak menggunakan dua kereta dan bersanding di atas pelamin khas.

Kebiasaannya majlis semeriah tersebut diadakan khusus untuk menyambut persaraan guru, namun ia berbeza apabila melibatkan pengawal keselamatan sekolah dan ia merupakan idea Guru Besar SK Jeli 2, Salmiah Mat Nawi sendiri.

Menurut Wahab, sebagai pengawal keselamatan yang telah berkhidmat selama 12 tahun di sekolah tersebut, hari persaraanya itu cukup indah. - Foto Sinar Harian


Lagi mengharukan, Wahab berpeluang bersanding buat pertama kalinya bersama isteri tercinta, Zauwiyah Abdul Rani, 59, selepas usia perkahwinan mereka mencecah 43 tahun.

Menurut Wahab, semasa berkahwin dulu mereka tidak bersanding kerana hidup susah dan tidak menyangka masih diberikan peluang untuk merasai pengalaman tersebut.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada guru besar, semua guru dan pelajar yang sudi meraikan saya sebegini meriah pada hari persaraan.

"Saya dan isteri juga sangat terharu apabila diraikan seperti pengantin baru, malu pula apabila kena duduk bersanding di depan semua," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya lagi, sebagai pengawal keselamatan yang telah berkhidmat selama 12 tahun di sekolah tersebut, momen hari persaraanya itu cukup indah.

Ujar datuk kepada 10 orang cucu itu, kasih sayang dan layanan baik yang diterima daripada guru serta pelajar merupakan rezeki dari ALLAH buatnya. -- Sinar Harian





#pak guard #Wahab Deris #jeli #terima hadiah #raja sehari