MALAYSIA

Pakar AI, semikonduktor dunia berhimpun di SDEC 2025 bulan depan

Bernama 24/09/2025 | 20:45 MYT
Yong berkata SDEC 2025 menjadi medan pertemuan Malaysia dengan dunia, dan Selangor berbangga memacu perjalanan teknologi mendalam negara dengan menghimpunkan pakar global, pelabur dan inovator. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pakar terkemuka dunia dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor akan berhimpun bersempena dengan Konvensyen Bandar Pintar Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2025 dari 8 hingga 11 Okt ini.


Ringkasan AI
  • Konvensyen SDEC 2025 bertemakan AI x Semiconductor akan diadakan pada 8-11 Okt di KLCC dan Grand Hyatt, menghimpunkan pakar global, pelabur dan inovator teknologi mendalam.
  • Acara utama termasuk Sidang Kemuncak Semikonduktor, Sidang Kemuncak Inovasi AI, serta pembentangan syarikat pemula dan PKS terbaik kepada pelabur.
  • Malaysia Semiconductor Recruitment Day (MSRD), karnival kerjaya terbesar sektor semikonduktor, turut dianjurkan dengan penyertaan syarikat gergasi global dan tempatan.


Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) memaklumkan konvensyen bertemakan AI x Semiconductor: Blitzscaling Malaysia's Deep Tech itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Hotel Grand Hyatt di sini.

Menurut kenyataan Sidec semalam, konvensyen itu mencerminkan aspirasi berani Selangor untuk mempercepat ekonomi digital Malaysia dan meletakkan kedudukan sebagai hab serantau bagi inovasi teknologi mendalam (deep tech).

"Sebagai satu daripada acara utama di bawah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025, SDEC mengangkat kedudukan global negeri ini dengan menghimpunkan teknologi, inovasi dan pelaburan di bawah satu platform," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Sidec Yong Kai Ping berkata konvensyen berkenaan menjadi medan pertemuan Malaysia dengan dunia, dan Selangor berbangga memacu perjalanan teknologi mendalam negara dengan menghimpunkan pakar global, pelabur dan inovator.

"Konvensyen ini bukan sekadar pameran idea, tetapi juga platform untuk mewujudkan peluang sebenar kepada bakat dan syarikat pemula," katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Sidec, hari pembukaan pada 8 Okt akan memberikan tumpuan kepada inovator generasi baharu negara, dengan penonton akan menyaksikan Hari Demo Akhir bagi peserta Retail-X dan Deep-X, Program Twin Accelerator utama anjuran perbadanan itu.

"Syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbaik ini akan membentangkan penyelesaian mereka kepada pelabur, rakan korporat dan peneraju ekosistem sekali gus memperlihatkan komitmen Selangor dalam melahirkan perusahaan berpotensi tinggi," menurut kenyataan itu.

Pada 9 Okt, Sidang Kemuncak Semikonduktor akan menampilkan pemimpin bertaraf dunia termasuk bekas Ketua Pegawai Teknologi Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) dan Naib Presiden Kanan National Yang Ming Chiao Tung University (NYCU) Prof Jack Sun, serta Naib Presiden Jualan Sypnopsys Robert Li.

Mereka akan disertai wakil kanan daripada Intel Foundry, Advanced Micro Devices (AMD), X-Fab Sarawak, SilTerra Malaysia, Infinecs System, Oppstar, SkyeChip Malaysia, dan Tenasic Malaysia, bersama-sama pakar serta persatuan industri yang memacu ekosistem semikonduktor di Asia Tenggara.

Sidec memaklumkan Sidang Kemuncak Inovasi AI akan diadakan pada hari ketiga, yang menampilkan inovator terkemuka termasuk KPE Cortical Labs Dr Hon Weng Chong dan KPE serta pengasas FuriosaAI June Paik.

Sidec memaklumkan Malaysia Semiconductor Recruitment Day (MSRD), karnival kerjaya terbesar di negara ini khusus untuk bakat kejuruteraan dalam sektor semikonduktor, akan berlangsung sepanjang empat hari konvensyen berkenaan.

MSRD akan mengetengahkan syarikat gergasi global seperti AMD, Infineon Technologies, STMicroelectronics, Texas Instruments Malaysia, dan NSW Inc. yang berganding dengan syarikat tempatan termasuk Maistorage Technology, Cortical Labs, SMD Semiconductor, HexoSys, SkyeChip Technology, Weeroc Space, Melexis Malaysia, Adoresys, Sophic Automation, Tenasic Technology, dan Oppstar Technology.

Tempat duduk adalah terhad untuk acara ini dan pendaftaran boleh dibuat melalui bit.ly/sidec2025.

-- BERNAMA



#AI #semikonduktor #Selangor #SDEC 2025