PAKAT tubuh pasukan sukarelawan bencana bantu mangsa banjir

Bernama
Disember 17, 2016 06:43 MYT
Penubuhan sukarelawan PAKAT merupakan satu daripada cabang kebajikan dan tanggungjawab bagi pertubuhan itu untuk membantu mangsa banjir yang memerlukan. - Gambar fail
Badan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Pakatan Anak Tanah Merah (PAKAT) telah menubuhkan unit sukarelawan bencana banjir bagi negeri Kelantan sebagai persediaan membantu mangsa bencana di jajahan Tanah Merah.
Penaungnya Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor berkata setakat ini seramai 300 sukarelawan berusia antara 18 hingga 60 tahun telah berdaftar dengan unit itu.
"Anggota PAKAT juga menyumbangkan empat bot dan 10 pacuan empat roda bagi kegunaan unit ini untuk melaksanakan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir.
"Kami turut menjalin kerjasama dengan agensi keselamatan berkaitan pengurusan bencana bagi menambah baik unit ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perasmian Pasukan Sukarelawan PAKAT di Dataran Kijang di sini, hari ini.
Mohamad Supardi berkata penubuhan sukarelawan berkenaan merupakan satu daripada cabang kebajikan dan tanggungjawab bagi pertubuhan itu untuk membantu mangsa banjir yang memerlukan.
-- BERNAMA
#Kelantan #mangsa banjir #PaKat #persediaan bencana #Tanah Merah