KUALA LUMPUR:Sukar untuk Pakatan Harapan menghadapi pilihan raya umum, sekiranya ia berlaku dalam masa terdekat, kerana pakatan itu berada dalam keadaan yang terlalu lemah pada ketika ini, demikian pandangan Penganalisis Politik Sabah, Dr Romzi Ationg.

Beliau berkata, ketiadaan kesemua Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) sewaktu undi belah bahagian ketika penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat semalam, juga dilihat satu signal jelas ketidaksepakatan blok pembangkang.

Ujarnya lagi, ia juga merupakan satu manifestasi kumpulan tertentu yang mula hilang keyakinan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang, dan bakal Perdana Menteri seterusnya.

“Sudah semestinya lanjutan tindakan tersebut, akan berakhir dengan ketidakserasian di kalangan pemimpin dalam blok pembangkang itu. Dan ini mungkin ada juga cakap-cakap di luar sana bahawasanya terdapat Pemimpin Warisan yang berminat untuk kembali menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini disebabkan sikap Datuk Seri Anwar yang kelihatan berdolak-dalik dalam memutuskan suatu hal. Dan rasanya tidak salah rakyat menilai bahawasanya kita perlukan pemimpin yang lebih tegas,” katanya lagi.

Ketua Whip Warisan Datuk Rozman Ali, yang juga Ahli Parlimen Labuan dilaporkan berkata, kesemua Ahli Parlimen Warisan bersepakat tidak hadir di Dewan Rakyat semalam kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Anwar.

Beliau berkata, Warisan amat kecewa dengan keputusan Anwar untuk tidak menyokong usul undi belah bahagian semasa pengundian Belanjawan 2021 pada peringkat dasar, Khamis lalu.

Mengulas lanjut, Romzi berkata, alternatif yang ada buat Pakatan Harapan serta keseluruhan blok Pembangkang ketika ini ialah melakukan gencatan politik, dan mula memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat.

“Bila saling bercakaran maka pembangkang tak mungkin mampu bersaing dengan Perikatan Nasional pada ketika ini.

“Pihak tertentu kena mengambil jalan menilai semula diri masing-masing. Yang paling penting itu kenalah ikhlas bekerja untuk rakyat. Apa yang berlaku sekarang ini memperlihatkan bahawa pemimpin yang kita pilih pada ketika ini tidak berbuat demikian,” katanya lagi.