KUALA LUMPUR: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan penubuhan sembilan jawatankuasa bawah PH sempena ulang tahun ketiga sejak kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam satu kenyataan bersama oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution, Datuk Hatta Ramli dan Anthony Loke Siew Fook, jawatankuasa-jawatankuasa tersebut turut ditubuhkan kerana memahami keperluan untuk memperkukuh gerak kerja PH ketika situasi semasa negara dilihat semakin terjejas.

"Jawatankuasa-jawatankuasa ini bertindak akan meneliti dan menyediakan dasar-dasar Pakatan Harapan.

“Hari ini, kita lihat kerajaan tidak lagi mampu memimpin negara. Dari segi politik, kerajaan ini kekal sebagai kerajaan minoriti yang tidak stabil.

Tambah mereka: "Dari segi kesihatan awam, kegagalan kerajaan menangani pandemik COVID-19 semakin ketara jika dilihat lembabnya program vaksinasi dan bersimpang-siurnya arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Akibatnya kesilapan demi kesilapan kerajaan ini menghantui kita: kompaun yang keterlaluan; amalan budaya ‘antara dua darjat’ berleluasa; SOP cacamarba lagi mengelirukan; darurat yang langsung tidak berjaya mengawal penularan pandemik, malah keadaan menjadi semakin kritikal,” tegas ketiga-tiga pemimpin PH itu.

Kenyataan itu menambah, rakyat mengharapkan satu perubahan besar, namun kelemahan pemerintah tidak bererti Pakatan Harapan itu sendiri semakin kuat secara automatik.

Justeru, sembilan jawatankuasa ditubuhkan dengan dua daripadanya diketuai oleh pengerusi masing-masing, manakala bakinya akan diumumkan kelak.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan manakala Jawatankuasa Kesihatan pula diketuai Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Keanggotaan jawatankuasa juga mungkin melibatkan pakar-pakar atau mana-mana pihak yang dilihat bersesuaian, serta beberapa jawatankuasa baharu akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Berikut senarai jawatankuasa baharu PH:

Jawatankuasa Pendidikan
Jawatankuasa Kesihatan
Jawatankuasa Ekonomi
Jawatankuasa Keselamatan
Jawatankuasa Gender
Jawatankuasa Belia
Jawatankuasa Kos Sara Hidup
Jawatankuasa Perundangan
Jawatankuasa Mobilisasi