KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan membelanjakan RM300 juta membli 500 buah ambulans tekanan negatif dipersoalkan oleh Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (PH).

Jawatankuasa berkenan menegaskan, apa keperluan ambulans-ambulans berkenaan dibeli ketika negara mempunyai keperluan lain yang lebih mendesak dalam melawan perang pandemik COVID-19.

"Apa rasionalnya? Apakah pula data yang ditunjukkan dalam penyelenggaraan pesakit COVID-19 sehingga menyebabkan Menteri Kesihatan Dr. Adham Baba memutuskan untuk membeli ambulans jenis ini sebanyak itu?

"Berapakah jumlah anggota petugas barisan hadapan yang mengendalikan pengangkutan pesakit atau jenazah pesakit COVID-19 yang telah terjangkiti ataupun menyumbang kepada kluster baharu?" soal jawatankuasa itu dalam kenyataan yang diedarkan pada Selasa.

Jawatankuasa Kesihatan PH dianggotai 12 pemimpin PH dan diketuai bekas Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Antara pemimpin lain yang turut menganggotai jawatankuasa itu ialah bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Bangi), Datuk Mohd Hatta Rami (Ahli Parlimen Lumut), Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru) dan Dr Kelvin Yii (Ahli Parlimen Bandar Kuching).

Beberapa hari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan akan memulakan perolehan lebih banyak unit kenderaan 'negative pressure ambulance' bagi membawa pesakit COVID-19 ke pusat rawatan.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, ambulans tekanan negatif itu merupakan keperluan penting terutama di lokasi yang mempunyai kes jangkitan tinggi.

Unit ambulans berkenaan dilengkapi sistem tekanan negatif, penapisan HEPA dan lampu UV khusus untuk kes penyakit berjangkit terutama jenis penyakit bawaan.

Pembelian 500 buah ambulans tekanan negatif itu turut disifatkan Jawatankuasa Kesihatan PH sebagai pembaziran yang nyata serta tidak langsung membantu dalam penyelesaian krisis pandemik COVID-19 di negara ini.

"Alangkah baiknya jika wang sejumlah itu digunakan untuk mengambil lebih ramai sukarelawan dan banyakkan program ujian saringan besar-besaran," soal jawatankuasa itu lagi.

Mengulas lanjut, jawatankuasa itu turut berpendapat, bajet RM300 juta itu dapat digunakan untuk mempercepatkan pemberian vaksin dengan memperbanyakkan Pusat Pemberian vaksin (PPV).

"Supaya akses kepada vaksin lebih mudah termasuk menggalakkan dan mempermudah klinik-klinik swasta beroperasi sebagai PPV di komuniti.

"Memperluaskan klinik 'mobile' supaya vaksin dapat liputan lebih ramai penduduk pedalaman dan luar bandar serta memperbanyakkan lagi PPV pandu-lalu di kawasan bandar dan pinggir bandar," ujar mereka lagi.

Justeru, Jawatankuasa Kesihatan PH menuntut Menteri Kesihatan menjawab persoalan pemberian tender 500 ambulans tersebut sama ada ia dijalankan secara terbuka dan syarikat mana yang memperolehnya.