Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Pakatan Rakyat yang kini dilihat berada di takuk lama memerlukan reformasi dan suntikan baru.

Beliau berkata krisis ini berlaku apabila terdapat pertembungan antara keinginan persendirian, keinginan kroni ketika mahu pertahankan hak milik rakyat.

"Pimpinan Pakatan Rakyat perlu berani untuk menegakkan keadilan walaupun berdepan dengan cabaran sukar," kata beliau dalam satu wawancara eksklusif bersama Astro AWANI.

Beliau berkata walaupun Pakatan Rakyat berdepan dengan krisis, ini adalah masa yang sesuai untuk menyertai dan membuat reformasi baru dalam Pakatan Rakyat.

"Walaupun kita tidak akan mendapat layanan istimewa ketika menyertai Pakatan Rakyat, tapi itulah cabaran untuk membuat revolusi.

“Kalau kita takut dengan cabaran, politik di Malaysia tidak akan sampai ke tahap yang lebih matang dalam usaha untuk mencapai visi dan kepentingan negara,” tambah beliau.

Beliau berkata keutamaan membawa politik negeri dan negara ke peringkat yang lebih matang perlu dititikberatkan.

“Dan jika seseorang pemimpin berasakan beliau tiada keupayaan lagi untuk melakukan reformasi, beliau perlu bersedia mengundurkan diri dan memberi laluan kepada orang baru,” jelas beliau.

Tambah beliau, setakat ini melalui reformasi kerajaan negeri Selangor bukan sahaja dapat mengubah gaya pemikiran politik penjawat awam tetapi dapat mengubah pemikiran pentadbiran yang kini mahu berjasa kepada rakyat dan beliau mahu perkara ini perlu diteruskan.


Selain itu, beliau berkata beberapa masalah perlu diselesaikan di negeri Selangor contohnya seperti perbezaan jurang yang besar antara penduduk bandar dan di luar bandar dan masalah pelupusan sampah.

"Tatacara kita sejak dari 80-an adalah dengan membina kumpulan kelas pertengahan untuk menstabilkan keadaan jurang tersebut.

"Negeri Selangor sudah mencuba untuk mengurangkan jurang itu. Contohnya sebelum ini keluarga yang berada di Jeram yang mempunyai tanah dalam 10-15 ekar diklasifikasi pendapatan yang rendah namun
kini diklasifikasikan sebagai jutawan," jelas beliau.

Tambah beliau, masyarakat juga perlu berada dalam keadaan yang boleh berkecimpung dalam mempertahankan aset yang boleh membawa pendapatan kepada mereka.

Selain itu, kerajaan negeri Selangor juga sedang mengatasi masalah pelupusan sampah supaya lebih teratur.

“Kami juga perlu menyelesaikan masalah pihak berkuasa tempatan dengan memilih Datuk Bandar yang cekap dalam kepimpinannya dalam kalangan profesional,” tegas beliau.



Nasihat Kepada Pengganti Baru

Dalam masa yang sama Adun Pelabuhan Klang itu juga menekankan supaya pengganti beliau dapat meneruskan legasinya dan terus meningkatkan kualiti pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau berkata kualiti pentadbiran perlu dijaga dan dipertingkatkan ke tahap yang lebih baik bagi mengekalkan sokongan rakyat Selangor kepada Pakatan Rakyat.

“Kita telah berjanji kepada rakyat dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu dan ini adalah cabaran baru untuk menteri besar yang akan menggantikan saya untuk mengekalkannya.

"Jika beliau tidak meneruskannya, kita akan hilang sokongan dan kepercayaan daripada rakyat," tambah beliau.

Beliau berkata tanggungjawab dan cabaran sebagai menteri besar perlu dipikul dengan lebih tertib dan teratur supaya dapat menganjakkan negeri Selangor ke arah yang lebih baik.

Tambah beliau, kerajaan negeri Selangor perlu membuat persediaan rapi untuk rakyat dari segi kemudahan yang bukan sahaja untuk tahun akan datang tetapi untuk dekad-dekad yang akan datang.

"Pada pandangan saya, pentadbiran negeri Selangor bukan ditadbir oleh orang yang hanya turun padang berjumpa dengan rakyat sahaja tetapi beliau mesti mampu menjelaskan 'operation answer' kepada rakyat iaitu bagaimana sesuatu operasi itu boleh dipertingkatkan" jelas beliau.


Tanah Rizab Selangor

Selain itu, Khalid turut berkata beliau telah membangunkan satu struktur sebagai kawalan tanah rizab simpanan di Selangor yang kini bernilai 3.3 billion ringgit.


"Rizab ini jika mahu digunakan perlu mendapat kelulusan Dewan Undangan Negeri Selangor supaya tidak gunakan sewenang-wenangnya. Kita sudahpun meletakkan satu piawaian yang perlu dipatuhi," jelas beliau.

Beliau berkata pembelanjaan tanah rizab perlu dilakukan secara teliti dan berhemah dari segi operasi dan pembangunan yang berpanjangan untuk mengelakkan pembaziran.

LIHAT VIDEO PENUH WAWANCARA EKSKLUSIF BERSAMA TAN SRI KHALID IBRAHIM