Akibat berada dibawah pengaruh dadah, seorang lelaki bertindak kejam apabila tergamak memijak muka anak saudaranya yang berusia dua tahun 11 bulan dalam kejadian di sebuah flat di Bagan Jaya, Butteroworth, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 malam ketika mangsa sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek yang berusia 23 tahun itu turut memukul kanak-kanak itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami sesak nafas.

Katanya, kejadian disedari oleh ibu mangsa yang mendengar tangisan anaknya sebelum mendapati suspek yang juga adik tirinya sedang memijak dan memukul mangsa.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami bengkak pada bahagian muka sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan, namun keadaannya dilaporkan stabil.

Susulan kejadian itu, suspek kemudiannya ditahan awal pagi Khamis selepas polis menerima laporan daripada ibu mangsa.

Noorzainy berkata, siasatan awal polis mendapati suspek yang merupakan seorang penganggur berada dibawah pengaruh dadah ketika kejadian manakala ujian air kencingnya didapati positif morfin.

Malah suspek juga dikatakan turut mengalami tekanan hidup.

Polis mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek hari ini bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 323/18 Akta Keganasan Rumah Tangga.