KOTA BHARU: Pakej taubat dengan bayaran RM20 yang ditawarkan dalam laman sosial bertujuan mengaut keuntungan semata-mata dan menunjukkan kejahilan masyarakat, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Beliau berkata tindakan mengupah taubat itu perlu dihentikan segera kerana ia berunsurkan penipuan.

"Bertaubat ini perlulah berlaku secara langsung dengan Allah, kecuali dengan manusia kita hendaklah mendapat kemaafan daripada sesama manusia sekiranya ada melakukan kesalahan.

"Dengan Tuhan (Allah), kita boleh terus memohon keampunan untuk memohon taubat tiada upah untuk bayaran kerana kesalahan seseorang itu hanya dia sahaja yang mengetahuinya dan individu yang mengambil kesempatan terhadap orang lain dianggap jahil," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu kemunculan laman sosial yang didakwa menawarkan pakej taubat dengan bayaran RM20.

Pakej Taubat | Jabatan Agama Islam Negeri diminta siasat

Terdahulu, Mohamad Shukri menghadiri Majlis Penerangan Kesedaran Zakat Pertanian dan Zakat Penternakan Serta Muamalat dalam Pertanian Negeri Kelantan.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang maklumat mengenai individu yang mengambil upah doa taubat di Kelantan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Shukri berkata berdasarkan fatwa Kelantan, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000 tidak wajib membayar zakat kerana belum mencapai nisab yang ditetapkan.

"Pencarum-pencarum yang menyimpan wang dalam KWSP dianggap belum sempurna, ia bermaksud mereka bebas menguruskan wang yang dikeluarkan termasuk membeli barangan kemas dan apa sahaja keperluan mereka.

"Kadar nisab yang mencapai syarat minimum ialah RM20,000 ke atas wajib membayar zakat, oleh itu pengeluaran RM10,000 belum mencapai nisab, sekiranya pencarum mahu membayar zakat, ia tidak menjadi masalah," katanya.

-- BERNAMA