PALAPES: Tiada sebarang kekurangan SOP latihan dikesan - PAT

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan tiada sebarang kekurangan dikesan terhadap prosedur operasi standard (SOP) termasuk membabitkan latihan bagi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) setakat ini. - Gambar fail/BERNAMA
PORT DICKSON: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan tiada sebarang kekurangan dikesan terhadap prosedur operasi standard (SOP) termasuk membabitkan latihan bagi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) setakat ini.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata ia meliputi pelaporan dan latihan seharian selain memastikan semua SOP sedia ada dipatuhi sepenuhnya.
"Semua (SOP) telah dilihat semula, setakat ini tidak ada kekurangan daripada SOP latihan yang telah dilaksanakan dari segi pelaporan dan latihan seharian, SOP semua sudah dikemas kini, " katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) kepada anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 membabitkan 852 anggota terdiri daripada 82 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Nizam berkata ibu bapa tidak perlu berasa bimbang untuk membenarkan anak masing-masing menyertai ATM susulan beberapa isu terpencil yang mungkin melibatkan organisasi berkenaan.
"Kalau nak kata takut hantar anak ke ATM, mak saya pun akan kata benda yang sama, Alhamdulillah setelah 41 tahun dalam perkhidmatan, ATM bukan sesuatu yang menakutkan, sebenarnya ia langkah sebahagian daripada pengorbanan pada negara, jadi ibu bapa jangan rasa takut seperti itu," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata budaya buli tidak diamalkan dalam ketenteraan sebaliknya latihan yang dijalankan bertujuan membentuk keperibadian dan ketahanan yang sepatutnya sebagai seorang perwira dan wirawati.
"Bukan mudah untuk menyarung uniform ini (ATM) jadi latihan-latihan yang dilaksanakan juga mungkin pada mata kasar rakyat agak keras tapi itu adalah yang sewajibnya perlu dilakukan dan dilaksanakan untuk menjadi tulang belakang kepada kedaulatan negara ini.
"Apa-apa kesalahan undang-undang awam adalah juga kesalahan pada undang-undang tentera. Sebagai seorang anggota telah ada Kod Tatalaku (COC) ataupun Etos Kepahlawanan yang sepatutnya dipatuhi, sekiranya ini tidak dipatuhi maka dengan sendirinya dia melanggar peraturan dan akan dikenakan tindakan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


