KUALA LUMPUR: Kerajaan Mesir menyatakan kesediaan membantu Malaysia dalam usaha penyaluran bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada Palestin.

Perkara itu dinyatakan Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam persidangan video pada Khamis.

Menurut Perdana Menteri, bantuan boleh disalurkan ke Palestin melalui sempadan Rafah, satu-satunya pintu masuk yang menghubungkan Mesir dan Gaza.

"Alhamdulillah, Tuan Yang Terutama (TYT) Presiden menyatakan kesediaan Kerajaan Mesir membantu Malaysia bagi penyaluran bantuan kepada Palestin," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.

Malaysia turut memuji peranan konstruktif Mesir yang bertindak sebagai broker dalam perjanjian gencatan senjata di antara Palestin dan Israel yang berkuat kuasa pada 21 Mei lalu.

Perbincangan julung kali itu juga turut mencapai persefahaman untuk meningkatkan kerjasama perdagangan bagi mengeratkan semula hubungan kedua-dua negara melibatkan isu-isu kepentingan bersama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan infrastruktur.

“Saya mengambil inisiatif mengemukakan pandangan bahawa sudah tiba masanya untuk Malaysia mengeratkan semula hubungan dengan Mesir, yang mana TYT Abdel Fattah Al Sisi menyambut baik cadangan ini, dan mengalu-alukan perbincangan melibatkan pemimpin tertinggi kedua-dua negara dilakukan segera,” kata Muhyiddin.

Mesir merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar di rantau Afrika Utara dengan nilai dagangan pada tahun lepas mencecah RM2.06 bilion.

Muhyiddin berkata, Kerajaan Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada kerajaan Mesir atas peluang pendidikan yang telah diberikan kepada rakyat negara ini untuk melanjutkan pelajaran di negara berkenaan.

Katanya, ketika ini terdapat kira-kira 8,000 pelajar Malaysia sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang seperti pengajian Islam, perubatan dan pergigian di beberapa universiti di negara itu.

Mengakhiri perbincangan, kedua-dua pemimpin saling mengundang untuk masing-masing mengadakan lawatan rasmi ke atas kedua-dua negara selepas pandemik COVID-19 berakhir.