KUALA LUMPUR: Datuk Peter Anthony telah menipu empat individu termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan kontrak kerja operasi dan penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bernilai hampir RM25 juta untuk diberikan kepada syarikat miliknya, Asli Jati Engineering Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi, dalam penghakimannya berkata Peter telah menipu Najib, yang ketika itu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dengan menyatakan dia telah mendapat sokongan UMS bagi kontrak kerja M&E Fasa 2, sedangkan sokongan yang diberikan oleh UMS adalah bagi projek 'smart partnership'.

Beliau berkata tertuduh juga menipu Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS Profesor Dr Shariff Abdul Kadir S. Omang, bekas Pendaftar UMS Datuk Abdullah Mohd Said yang juga bekas Pengerusi  ULINK Property Sdn Bhd dan rakannya, Mohd Shukur Mohd Din.

"Terdapat keterangan mencukupi bahawa tertuduh telah menipu ketiga-tiga mereka dengan mengaburi pemikiran mereka mengenai projek usahasama 'smart partnership' antara anak syarikat milik penuh UMS, ULINK Property dan syarikat milik Peter, Asli Jati," katanya.

Azura berkata ketiga-tiga mereka yang merupakan saksi pendakwaan juga telah dikenakan tindakan tatatertib disebabkan perbuatan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu.

Azura berkata tiada isu ketiga-tiga individu itu ingin mengenakan dan meletakkan kesalahan kepada tertuduh semata-mata kerana tiada keterangan menunjukkan bahawa pertuduhan terhadap tertuduh adalah bermotifkan politik sebagaimana yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan.

BACA: Palsu dokumen UMS: Peter Anthony dihukum penjara tiga tahun, denda RM50,000

Berhubung pertuduhan memalsukan dokumen, beliau berkata walaupun tiada keterangan langsung yang menunjukkan tertuduh telah melakukan pemalsuan dengan memasukkan penyataan palsu pada tajuk surat sokongan kepada Kementerian Kewangan, namun terdapat keterangan bahawa tertuduh sahaja yang mempunyai peluang untuk memalsukan surat tersebut.

"Keterangan menunjukkan bahawa Mohd Shukur (saksi pendakwaan ketiga- SP3) telah menaip draf surat di dalam komputer di pejabat tertuduh dan kemudian meninggalkan surat kosong dengan kepala surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS," katanya.

Tambah Azura, setelah menilai dan menimbang keterangan saksi-saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati versi pembelaan adalah penafian tidak konsisten dan pemikiran semula semata-mata.

"Penafian tertuduh bahawa dia tidak pergi ke pejabat bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Najib, arwah Datuk Azlin Alias pada 13 Jun 2014 dan menyerahkan surat sokongan kepada Azlin tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah kerana keterangan SP3 dan SP8 mengesahkan perbuatan tersebut," katanya.

Azura berkata Peter bersungguh-sungguh untuk mendapatkan projek tersebut demi kepentingan dirinya serta syarikat miliknya (Asli Jati).

Katanya jika dinilai secara keseluruhan, terdapat peluang untuk tertuduh melakukan pemalsuan tersebut dan tindakan itu dibuat secara tidak jujur.

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan hari ini selesai, namun memerintahkan denda RM50,000 itu dibayar hari ini.

Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

-- BERNAMA