NATIONAL
Pameran Semangat ASEAN imbas sejarah penubuhan, ketengah kebersamaan serantau
Aaron Ago menyempurnakan Majlis Peluncuran Pameran Semangat ASEAN di Dataran Muzium Negara, di sini, pada Khamis. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pelbagai koleksi sejarah pembentukan ASEAN dari tahun 1967 hingga 1976 berjaya diiktiraf di bawah Daftar Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Antara koleksi yang mempunyai nilai sejarah tinggi ialah Deklarasi ASEAN bertarikh 8 Ogos 1967, ditandatangani di Bangkok, yang dipelihara di Arkib Negara Malaysia.
Pengiktirafan membanggakan itu disampaikan di Paris, Perancis pada 17 April 2025 lalu.
Koleksi ini diberikan sorotan dalam Pameran Semangat ASEAN dari 21 April hingga 31 Ogos di Galeri 2, Jabatan Muzium Malaysia, sempena negara menjadi Pengerusi ASEAN 2025.
Program yang mengetengahkan tema Keterangkuman dan Kemampanan ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata pameran ini menonjolkan kepelbagaian dalam ASEAN sekali gus menjadi kekuatan untuk memupuk komuniti serantau yang stabil.
“Pameran ini bukan sahaja memperkaya pemahaman terhadap identiti ASEAN, tetapi turut menjadi platform untuk menyemai semangat kebersamaan, serta saling menghormati dalam kalangan negara jiran,” ujarnya ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Pameran Semangat ASEAN di Dataran Muzium Negara, di sini, pada Khamis.
Dalam Pameran Semangat ASEAN ini, sebanyak 120 koleksi dari negara-negara ASEAN dipamerkan untuk penghayatan umum.
Ia memperlihatkan warisan budaya, sejarah, dan amalan lestari yang mencerminkan keunikan setiap negara anggota.
Selain itu, turut mendapat pengiktirafan Daftar Warisan Dunia UNESCO adalah karya agung kesusteraan Melayu abad ke-16, The Works of Hamzah Fansuri.