KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima empat laporan polis berkait dakwaan wang Malaysia yang dibawa ke luar negara secara haram susulan pendedahan Pandora Papers.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, daripada empat laporan diterima, dua telah diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut kerana berkaitan dengan aktiviti penyerahan memorandum menggesa siasatan.

"Bagi dua lagi laporan polis, PDRM telah pun menjalankan rakaman percakapan pengadu.

"Satu kertas siasatan yang dibuka telah pun dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Oktober 2021 manakala satu lagi kertas siasatan akan dirujuk kepada BNM pada 18 Oktober 2021 untuk siasatan lanjut," memetik kenyataan media yang dikeluarkan beliau hari ini.

BACA: Kertas Pandora: Kerajaan serah pada pihak berkuasa ambil tindakan, jamin tiada campur tangan - PM

Antara badan politik yang pernah membuat laporan berhubung isu ini adalah Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Pemuda Pakatan Harapan (PH).

Pendedahan Pandora Papers seperti yang telah dilaporkan oleh Global Financial Integrity (GFI) mendapati terdapat pengaliran wang Malaysia ke luar negara secara haram yang berjumlah RM1,800 billion dari tahun 2005 sehingga 2015.

Pendedahan itu turut mendapati beratus ahli politik Malaysia yang terlibat dalam isu ini, termasuk Menteri Kewangan Tengku Zafrul Zainal Abidin; Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Hari ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menegaskan, kerajaan terbuka dan tidak akan mencampuri dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkenaan kandungan dan pendedahan Kertas Pandora baru-baru ini.

Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan terbuka untuk mana-mana pihak berkuasa yang terlibat untuk melakukan siasatan sekiranya ada bukti terhadap apa yang dilaporkan oleh pihak berkenaan.