KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi siasatan lain menyiasat isu pendedahan Pandora Papers.

Dalam satu kenyataan, SPRM menjelaskan pihaknya juga akan meminta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kerjasama sekiranya mempunyai maklumat lanjut.

"SPRM akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia serta agensi siasatan lain bagi menyiasat isu pendedahan Pandora Papers seperti yang telah dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen dengan mengemukakan notis usul kepada Speaker Dewan Rakyat, baru-baru ini.

"Sehubungan itu, SPRM juga meminta Datuk Seri Anwar untuk memberi kerjasama dengan Suruhanjaya ini sekiranya beliau mempunyai maklumat lanjut tentang isu tersebut," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan Kerajaan terbuka dan tidak akan mencampuri dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkenaan kandungan dan pendedahan Pandora Papers baru-baru ini.

Perdana Menteri memberi jaminan kerajaan terbuka untuk mana-mana pihak berkuasa yang terlibat untuk melakukan siasatan sekiranya ada bukti terhadap apa yang dilaporkan oleh pihak berkenaan.

Baru-baru ini terdapat laporan pendedahan yang dijalankan pihak International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) telah memetik beberapa figura penting negara berkaitan pemilikan akaun luar pesisir, sepanjang 25 tahun lalu.

Antara individu yang dikaitkan menerusi pendedahan berikut ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; ahli perniagaan, Tun Daim Zainuddin bersama beberapa ahli keluarganya serta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa.