GOMBAK: Seorang lelaki nekad memandu sendiri kenderaannya sejauh tiga kilometer ke balai polis selepas ditikam sekumpulan individu dekat kolam ikan di Bandar Country Homes di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira jam 6.48 petang.

Beliau berkata, mangsa terlibat berumur 47 tahun yang didapati dalam keadaan berlumuran darah ketika datang membuat laporan di Balai Polis Bandar Country Homes.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa berada dalam kereta di lokasi kejadian.

"Mangsa kemudiannya diserang tiga lelaki tidak dikenali menggunakan senjata tajam sebelum melarikan diri ke balai polis," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan itu dibantu anggota polis bertugas dan dibawa dengan ambulans ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

"Mangsa disahkan mengalami kecederaan bahagian tangan, belakang badan serta bahu akibat kejadian," katanya.

Menurutnya, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 019-9260203 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222," katanya. - Sinar Harian