Pandu secara laju punca utama kemalangan babitkan bas ekspres di Kelantan

Bernama
Mei 24, 2022 10:30 MYT
Shuhaimi (dua, kanan) bersama Pengarah Urusan Kumpulan Sani Express Sdn Bhd Wan Mohd Iskandar Salleh (dua, kiri) memeriksa sistem brek dan stereng sebuah bas ekspres di Pejabat Sani Express Kubang Kacang hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Sikap pemandu yang memandu melebihi had laju ditetapkan merupakan penyebab utama kemalangan membabitkan bas ekspres di Kelantan, kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan Supt Shuhaimi Jusoh.
Beliau berkata setakat 1 Jan hingga 10 Mei lepas sebanyak 12 kesalahan telah dikenal pasti melibatkan pemandu bas ekspres yang memandu melebihi had laju terutama ketika melalui kawasan jalan lurus dan tidak banyak kenderaan.
"Tabiat pemanduan laju ini adalah kesalahan serius kerana ia bukan sahaja melibatkan pemandu itu sendiri malah mengundang risiko kepada penumpang yang dibawa.
"Hasil pemerhatian dilakukan juga kita mendapati terdapat pemandu bas yang tujuh kali melakukan kesalahan yang sama dan berulang iaitu memandu secara laju," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Program Pemandu Berhemah Sani Express di Pejabat Sani Express Sdn Bhd, dekat Kampung Tiong Kubang Kacang, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Urusan Sani Express Sdn Bhd Wan Mohd Iskandar Salleh.
Untuk rekod tahun lepas, Shuhaimi berkata sebanyak 33 kesalahan direkodkan melibatkan pemandu bas dengan melakukan pelbagai kesalahan seperti memandu melebihi had laju ditetapkan, tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh dan memotong di garisan berkembar.
"Saya harap pemandu bas ekspres di Kelantan dapat memandu secara berhemah dan mematuhi undang-undnag yang ditetapkan agar tidak membahayakan nyawa penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.
-- BERNAMA
#kemalangan #bas ekspres #Shuhaimi Jusoh #kesalahan trafik #pandu laju #Kelantan