Pandu uji kereta: Sanusi serah kepada polis untuk siasat

Bernama
Jun 6, 2021 11:16 MYT
SANUSI: "Tiada komen lanjut setakat ini, tunggu siasatan polis selesai".
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan bahawa beliau memandu uji kenderaan di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, Pulau Pinang, semalam.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut isu itu.
"Tiada komen lanjut setakat ini, tunggu siasatan polis selesai," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama berhubung perkara itu hari ini.
BACA: Polis siasat dakwaan MB Kedah pandu uji kereta ketika PKP
PKP Penuh | Polis siasat dakwaan MB Kedah pandu uji kereta
Semalam, netizen kecoh susulan penularan beberapa gambar dan video memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kenderaan, sedangkan negara kini berada di bawah sekatan pergerakan penuh dan pusat jualan serta pameran kenderaan antara sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Shafee Abd Samad sebelum ini berkata polis akan menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan akan memanggil semua yang terlibat termasuk Muhammad Sanusi.
Katanya siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
-- BERNAMA
#MB Kedah #Menteri Besar Kedah #Muhammad Sanusi Md Nor #sanusi #pandu uji #kereta #juru #viral #Tular #serah kepada polis #enggan ulas