KUALA LUMPUR: AirAsia mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan membabitkan penumpang dan kru susulan insiden melibatkan penerbangan AK720 dari Singapura ke Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan tambang murah itu memaklumkan pesawat berkenaan mendarat dengan selamat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.22 malam, 4 April lalu selepas satu bahagian hos yang bersambung pada panel kabin menjadi longgar dan tertanggal ketika pendaratan.
Advertisement
Menurut AirAsia, pesawat itu telah menjalani semua pemeriksaan penyelenggaraan yang diperlukan sebelum berlepas, termasuk pemeriksaan rutin setiap 36 jam yang merangkumi penilaian visual dan fizikal, selain memenuhi semua keperluan keselamatan pra-penerbangan.
“Pasukan kejuruteraan AirAsia turut menjalankan pemeriksaan menyeluruh sebaik pesawat mendarat bagi memastikan panel yang terjejas selamat dan dipasang semula dengan sempurna,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengurus Besar AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata kru kabin bertindak pantas mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan, termasuk membantu penumpang yang duduk di bawah panel berkenaan serta memindahkan mereka ke tempat duduk lain dengan selesa.
Beliau berkata pesawat itu diperiksa serta-merta sejurus mendarat, dengan panel yang terjejas dipasang semula dan dikukuhkan mengikut piawaian keselamatan yang ketat.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan menghargai pemahaman para penumpang, kerana keselamatan kekal menjadi keutamaan mutlak dalam setiap aspek operasi kami,” katanya.
-- BERNAMA