Panel SC tumpu pendekatan berfasa tangani ketidakpatuhan dalam pelaporan kemampanan

Mohammad Faiz berkata pihaknya menyedari cabaran yang dihadapi syarikat dalam memenuhi piawaian pelaporan kemampanan baharu. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR), yang dipengerusikan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan pendekatannya untuk menangani ketidakpatuhan terhadap keperluan pelaporan kemampanan pengawalseliaan, yang dibangunkan selaras dengan Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Negara (NSRF).
Ringkasan AI
- Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR) dipimpin oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan pendekatan untuk menangani ketidakpatuhan terhadap keperluan pelaporan kemampanan pengawalseliaan selaras dengan Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Negara (NSRF).
- SC, bersama Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dan Lembaga Pemantauan Audit akan menumpukan kepada pendekatan berfasa dan praktikal dalam menyemak semula pendedahan bagi memastikan kemajuan yang wajar dan bermakna dalam mendedahkan maklumat kemampanan yang konsisten, setanding, dan boleh dipercayai.
- Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi, menegaskan penekanan akan diberikan kepada pembinaan kapasiti dan peningkatan kemahiran entiti pelapor dalam mematuhi piawaian pelaporan kemampanan baru disebabkan oleh cabaran seperti kekurangan sumber, kualiti data luaran, dan kesukaran mendapatkan kepakaran yang diperlukan.
"Pendekatan kami adalah untuk mengimbangi keperluan pematuhan dengan pelbagai tahap kesediaan merentasi entiti pelapor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Oleh itu, katanya penekanan akan diberikan kepada usaha pembinaan kapasiti dan peningkatan kemahiran sepanjang proses semakan bagi memastikan kemajuan yang wajar dan bermakna oleh entiti pelapor dalam mendedahkan maklumat kemampanan yang konsisten, setanding dan boleh dipercayai.
"Dalam kes ketidakpatuhan secara amnya, ini boleh ditangani melalui penglibatan aktif dan tindakan pembetulan, antara lain," katanya.
Ini adalah sebagai pengiktirafan tempoh peralihan untuk entiti pelapor menerima pakai Piawaian Penzahiran Kemampanan IFRS.
Dilancarkan pada September tahun lepas, NSRF merupakan langkah penting ke hadapan dalam memajukan agenda kemampanan korporat Malaysia.
Ia terpakai untuk penerbit tersenarai di Pasaran Utama dan Pasaran ACE Bursa Malaysia serta syarikat besar tidak tersenarai (NLCo) dengan pendapatan tahunan sebanyak RM2 bilion dan ke atas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


