Panggilan aduan Talian Kasih 15999 bagi kes keganasan rumah tangga mencatat peningkatan sebanyak 70 peratus tahun lalu.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Hannah Yeoh, daripada 25,868 panggilan yang diterima itu, dua kes yang menunjukkan peningkatan ialah penderaan kanak-kanak dan rumah tangga.

Angka itu, kata beliau, meningkat daripada 15 000 panggilan yang direkodkan pada 2018.

Beliau berkata, peningkatan itu menyebabkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) giat mempromosikan perlindungan hak kanak-kanak bagi tahun ini.

Menurut Hannah, kementerian juga mengambil langkah melanjutkan perkhidmatan Talian Kasih dengan melancarkan nombor aplikasi WhatsApp.

“Melalui aplikasi WhatsApp, senang untuk orang ramai menghantar gambar dan berkongsi lokasi kes kejadian.

“Jadi, kita minta jika ada jiran tetangga yang mengesyaki sebarang kes penderaan di rumah, anda perlu ingat sebagai orang dewasa anda bertanggungjawab bawah Akta Kanak-Kanak untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Kita juga ingin mengingatkan bahawa Talian Kasih ini hanyalah untuk isu yang melibatkan kebajikan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Program Kesedaran Kanser Kanak-Kanak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM), di sini pada Jumaat.

Majlis tersebut menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman antara dua badan bukan kerajaan, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dan Kelab Lions Antarabangsa (KLA).

Jalinan kerjasama strategik ini membolehkan kedua-dua organisasi itu berganding bahu memenuhi keperluan pesakit kanser kanak-kanak.

Inisiatif itu juga memberi manfaat kepada keluarga pesakit pediatrik yang menerima rawatan di hospital itu.

Memuji usaha pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta yang membantu meringankan beban kewangan keluarga pesakit kanak-kanak seperti inisiatif Rumah Ronald McDonald, Hannah turut memaklumkan, kementerian juga menubuhkan Anjung Kasih melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Anjung Kasih menawarkan perkhidmatan penginapan sementara secara percuma kepada pesakit dan keluarga pesakit.

“Anjung Kasih YKN telah memberi manfaat kepada lebih 75,000 orang penghuni dan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk perkhidmatan kaunseling kepada keluarga pesakit,” tambah beliau lagi.

Dalam majlis itu, Hannah turut merasmikan taman permainan kanak-kanak di Rumah Ronald McDonald yang telah dijadikan sebagai taman angkat kepada Kelab Lions Antarabangsa.

Untuk rekod, Rumah Ronald McDonald telah memberi manfaat kepada lebih 1,500 keluarga khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.

Sementara itu, bagi nombor Talian Kasih di aplikasi WhatsApp, orang awam boleh membuat aduan dan mengemukakan pertanyaan berkaitan perkhidmatan Kementerian di 019-2615999.