MALAYSIA

Panggilan palsu 'hobi' undang bahaya - JBPM

Bernama 13/07/2025 | 07:30 MYT
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Kelantan, Tunjung baru-baru ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Di sebalik deringan talian kecemasan yang kedengaran biasa, tersembunyi satu hakikat jarang-jarang disedari bahawa setiap panggilan palsu bukan sekadar gurauan, malah boleh mengundang bahaya.


Ringkasan AI
  • Panggilan Palsu Ganggu Operasi Menyelamat: JBPM Kelantan menyatakan panggilan palsu dan main-main masih berlaku walaupun sistem MERS 999 semakin moden, dan ia boleh melambatkan tindakan serta membahayakan nyawa.
  • Kesan Nyata dan Risiko Nyawa: Pengalaman di Sabah menunjukkan kelewatan akibat alamat tidak lengkap menyebabkan tiga mangsa rentung. Panggilan palsu disifatkan sebagai hobi berbahaya yang boleh membawa padah.
  • Statistik dan Seruan Kepada Orang Awam: Sehingga 7 Julai 2025, JBPM Kelantan menerima 2,053 panggilan termasuk lapan panggilan palsu. Orang ramai diseru agar hanya menggunakan talian 999 untuk kecemasan sebenar.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata meskipun sistem kecemasan negara kini semakin moden melalui Pusat Respons Kecemasan Malaysia (MERS) 999, ancaman panggilan palsu dan main-main masih wujud serta mengganggu kelancaran operasi menyelamat.

"Panggilan palsu berlaku apabila pemanggil beri alamat lengkap, tetapi bila kita sampai, kejadian sebenar tidak berlaku. Panggilan main-main pula, contohnya pemanggil hanya diam, melawak atau sekadar mahu meluahkan perasaan.

"Bezanya, panggilan main-main biasanya disaring oleh Telekom Malaysia (TM) sebelum sampai ke pihak kami," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau turut berkongsi pengalaman sewaktu bertugas di Sabah, apabila bomba pernah dikatakan lewat bertindak.

"Pemanggil beri alamat yang tidak lengkap dan komander terpaksa mendapatkan maklumat tambahan. Kes ini melibatkan tiga mangsa rentung bukan kerana jeriji terkunci, tetapi kerana kebakaran merebak terlalu cepat," katanya.

Farhan Sufyan menyifatkan tindakan membuat panggilan palsu atau main-main bukan sekadar satu jenayah, tetapi sebagai 'hobi berbahaya' yang berpotensi meragut nyawa orang lain.

Walaupun di Kelantan belum ada pendakwaan terhadap pemanggil palsu setakat ini, namun di Sabah pernah berlaku kes pendakwaan selepas pihak bomba berjaya mengesan individu terbabit.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru orang ramai supaya menggunakan talian MERS 999 hanya untuk kes kecemasan.

Statistik JBPM Kelantan menunjukkan hingga 7 Julai lepas, pihaknya menerima sebanyak 2,053 panggilan terdiri 796 panggilan kebakaran, 1,173 (penyelamatan), 76 (tugas khas) dan lapan (palsu).

Pada 2024 pula, sebanyak 6,099 panggilan direkodkan, termasuk 3,112 panggilan kebakaran, 2,755 (penyelamatan), 208 (tugas khas) dan tujuh (palsu).

-- BERNAMA





#panggilan kecemasan #panggilan palsu #hobi bodoh #undang bahaya #JBPM