PEMBUKAAN sekolah sewaktu pandemik COVID-19 telah mengundang 1,001 keresahan terhadap perjalanan persekolahan di Malaysia.

Para guru, ibu bapa, pihak pentadbir sekolah dan juga pelajar terkesan terhadap saat-saat pandemik yang masih serius di Malaysia.

Kaedah pembelajaran dalam talian digunapakai kerana dianggap paling berkesan dalam mendepani masalah pandemik COVID-19.

Namun, daripada segi kesediaan pelbagai aspek boleh diambil kira termasuklah menyediakan infrastruktur seperti pangkalan data media yang seragam untuk kandungan media digital untuk pembelajaran.

Para guru juga mengalami kesukaran untuk memberi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disebabkan kekurangan akses internet di kawasan-kawasan tertentu termasuklah di kawasan pedalaman di mana bukan semua pelajar mempunyai akses yang baik.

Terdapat guru-guru terpaksa mengambil inisiatif mencetak bahan PdPR dan mengedarkan sendiri bahan-bahan PdPR kepada pelajar-pelajar yang mempunyai masalah akses.

Terdapat juga masalah guru-guru yang mempunyai literasi teknologi maklumat yang rendah menyebabkan mereka kurang keyakinan menggunakan teknologi.

Begitu juga dengan penyediaan bahan-bahan digital PdPR yang sukar diaksess kerana kekangan internet dan kekurangan media kandungan digital PdPR yang bersesuaian.

Manakala terdapat ibu bapa mempunyai persepsi negatif bahawa pembelajaran bersekemuka adalah yang terbaik dan menganggap kaedah pembelajaran dalam talian dan menggunakan media sosial seperti YouTube dan WhatsApp bukannya pembelajaran dan tidak mencukupi.

Seterusnya bagai keluarga yang kurang literasi teknologi maklumat, mereka tidak mempunyai kesedaran manfaatnya untuk membantu anak-anak mereka.

Bukan semua ibu bapa celik teknologi Maklumat di Malaysia. Ibu bapa perlu bijak mengurus anak-anak dalam membuat jadual di rumah di samping memastikan akses bahan PdPR dicapai.

Bagi keluarga yang miskin mereka tidak mampu membeli telefon pintar yang mahal, apatah lagi komputer riba untuk PdPR anak-anak.

Jika mereka mempunyai ramai anak maka keadaan menjadi lebih sukar, contohnya, lima orang anak sedang bersekolah dan hanya menggunakan sebuah telefon untuk belajar.

Sudah pasti anak-anak daripada keluarga tersebut akan berebut akses internet.

Begitu juga ibu bapa terpaksa menyediakan ruang yang kondusif serta memotivasikan anak-anak untuk belajar. 

Bagi anak-anak di rumah, tidak semua mereka celik teknologi maklumat.

Anak-anak yang masih kecil perlu dipantau penggunaan peranti supaya mereka dapat memanfaatkan peranti hanya untuk tujuan PdPR dengan efektif dan selamat.

Terdapat masalah akses yang serius di kawasan tertentu menyebabkan anak-anak ini sukar mendapat akses, ada anak-anak terpaksa mencari internet di tepi-tepi jalan, di puncak bukit, di atas pokok atau di kawasan yang mempunyai internet.

Menurut World Bank, di Malaysia terdapat, saluran TV baharu bernama TV Okey dari penyiar awam Radio Televisyen Malaysia (RTM) dilancarkan pada 6 April 2020 untuk menyampaikan program televisyen pendidikan kepada semua pelajar, terutama mereka yang tidak mempunyai akses internet.

Program televisyen dan radio berbentuk pendidikan juga akan disiarkan secara langsung di laman web RTM.

TV Okey RTM mempunyai ruang masa dua jam, Tutor TV Astro selama 4 jam dan NTV7 selama 3 jam.

Siaran-siaran ini berjumlah 9 jam sehari.

Seterusnya, dicadangkan kerajaan mewujudkan satu pangkalan data media yang seragam untuk kemudahan akses bahan digital kandungan pengajaran sebagai contoh multimedia, audio dan video. 

Model yang digunakan seperti model Udemy tapi tanpa bayaran boleh disediakan oleh pihak yang terbabit.

Ia seperti model MOOC di mana para pelajar boleh mengakses kandungan pembelajaran pada bila-bila masa.

Pihak terbabit boleh menyediakan garis panduan untuk aksess penggunaan pangkalan data digital media untuk bahan PdPR.

Pelbagai kursus dapat disediakan daripada peringkat tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Terdapat juga kandungan pendidikan untuk meningkatkan literasi teknologi maklumat asas kepada guru-guru, ibu-bapa dan anak-anak maka dengan ini mereka dapat mendepani masalah penggunaan teknologi maklumat.

Di mana semua laman PdPR boleh diaksses dan diseragamkan menerusi sebuah portal media yang mempunyai pangkalan digital yang seragam, boleh digunakan oleh guru-guru, para pelajar, dan ibu-bapa di mana-mana sahaja dihujung jari.

Pihak syarikat telekomunikasi disarankan memberi akses data percuma untuk tujuan PdPR terutamanya menggunakan streaming video kerana akses ini menuntut jumlah data yang tinggi.

Internet desa atau internet komuniti perlu diperkasakan kerana ia memainkan peranan untuk kawasan pedalaman dan kekurangan akses oleh para pelajar, guru-guru mahupun ibu bapa. Inisiatif perlu diambil oleh pihak yang terbabit.

Seterusnya, badan jawatan-kuasa yang terbabit boleh memikirkan satu tujuan penubuhan ‘Help Desk’ seperti panggilan talian mahupun di portal untuk menjawab dan merekodkan sebarang aduan ataupun permasalahan termasuk masalah peranti, perisian, akses internet dan bahan digital, untuk di atasi dengan segera oleh pihak pembekal kandungan bahan digital media tersebut.

Apa yang penting sewaktu pandemik ini apa yang amat  diperlukan ialah infrastruktur internet yang baik.

Selain daripada itu perbanyakkan kandungan pembelajaran digital dan juga kemudahan peranti seperti telefon pintar dan juga komputer riba yang bersesuaian boleh difikirkan oleh pihak kerajaan dan NGO serta pembekal.

Selain daripada itu di saat saat sukar, PdPR perlulah semua pihak bekerjasama menyelesaikan masalah.
Motivasi harus diberikan, sikap yang positif harus dikekalkan untuk mengelakkan stress yang berlebihan dan keletihan mental kepada semua pihak.

Apa yang penting semua pihak perlu menyokong PdPR yang berkesan mengikut kemampuan masing-masing.

Kesimpulannya, Malaysia mampu meningkatkan literasi teknologi maklumat menerusi pangkalan digital media pembelajaran yang seragam menerusi sokongan semua pihak.



* Pensyarah Professor Madya Ts. Dr. Shamsul Arrieya Ariffin, merupakan professor madya, dan juga Pakar Teknologis, daripada Jabatan Komputeran, FSKIK UPSI Tanjong Malim Perak. Beliau juga penyelaras pelajar pasca Jabatan Komputeran.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI