PUTRAJAYA: Satu pangkalan data raya yang merekodkan dan mendaftarkan petani di Malaysia bakal diwujudkan bagi memudahkan usaha kerajaan menyalurkan bantuan dan insentif kepada petani, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Langkah itu dibuat selepas cadangan menggubal Enakmen Pendaftaran Petani dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bersama Exco-Exco Pertanian Negeri Bilangan 1 Tahun 2023 yang diadakan secara hibrid semalam.

KPKM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penggubalan Enakmen Pendaftaran Petani itu bertujuan menyediakan satu pangkalan data raya yang merekodkan dan mendaftarkan petani di Malaysia.

"Melalui usaha ini, kerja-kerja untuk mengenal pasti bilangan sebenar petani yang terlibat dalam sektor pertanian dapat memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan dan insentif kepada petani.

"Ia juga dapat dijadikan rujukan semua pihak khususnya dalam merancang pembangunan sektor agromakanan serta mengelakkan berlaku ketirisan dalam pemberian bantuan kepada petani," katanya.

Dalam mesyuarat itu, KPKM menyatakan sebanyak 11 pembentangan merangkumi dua kertas pertimbangan dan sembilan kertas makluman antaranya mengenai cadangan pewujudan kawasan khusus pertanian organik di peringkat negeri.

Pewujudan kawasan yang dicadangkan itu selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN2.0), Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG).

"Pertanian organik ialah satu daripada aktiviti yang diberi tumpuan dalam menangani cabaran global yang kritikal melalui amalan mesra alam serta keselamatan kepada pengguna," menurut kenyataan itu.

KPKM memberitahu mesyuarat juga mengambil maklum berkenaan dengan inisiatif pengukuhan data sektor pertanian dan agromakanan yang memerlukan sokongan tadbir urus data daripada kerajaan negeri untuk memastikan data pertanian yang terkini dan boleh dipercayai merentas masa.

Dalam kenyataan berasingan, Jabatan Pertanian (DOA) memaklumkan Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pengurusan dan Regulatori) DOA Datuk Nor Sam Alwi dilantik sebagai Ketua Pengarah Pertanian berkuat kuasa semalam.

Menurut DOA, Nor Sam yang merupakan lulusan Ijazah Sains Pertanian dari Universiti Putra Malaysia, ialah pegawai wanita kedua di DOA yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Pertanian.

Nor Sam yang pernah bertugas sebagai Pengarah Pertanian Negeri Perak, Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, menggantikan Datuk Zahimi Hassan yang bersara wajib pada 26 Ogos lepas.

-- BERNAMA