Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin mendahului senarai 962 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri sempena Ulang Tahun ke-80 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, hari ini.

Zulkifli, 59, yang memegang jawatan itu sejak 20 Jun lalu, adalah antara dua penerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Menurut senarai yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, seorang lagi penerima DPPN ialah usahawan dan tokoh korporat terkenal berusia 62 tahun, Tan Sri Tan King Tai @ Tan Khoon Hai.

Selain itu, sejumlah 13 orang dianugerahkan pingat Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri, antaranya Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Nor; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan.

Turut menerima DGPN ialah Pengasas dan Pengerusi Safety Fibre Industries Sdn Bhd., Datuk Ewe Tuan Beng; Ketua Jabatan Pembedahan Kardiothorasik di Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon; Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd., Datuk Mohamed Azahari Mohamed Kamil.

Pakar perunding bedah am dan Ketua Jabatan Bedah, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Datuk Dr Mohamed Yusof Abdul Wahab; Pengerusi Malaysian American Electronics Industry, Datuk Wong Siew Hai dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya.

Sejumlah 11 individu dianugerahkan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN), yang membawa gelaran Datuk iaitu Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman; bekas Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye; Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Tonmooi, Datuk Koay Ah Meng; Presiden Persatuan Kriket Pulau Pinang, Datuk Lakhbir Singh Sadu Singh dan dua bekas exco kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu Law Heng Kiang dan Lim Hock Seng.

Lima lagi penerima DMPN ialah ahli perniagaan Datuk Lim Yam Koi; sukarelawan Datuk Meh Reng @ Mary Dong; Pengarah Urusan Kumpulan PLB Engineering Bhd., Datuk Dr Ong Seng Soon; pengusaha pusat pencucian kereta automatik terbesar di Malaysia, Datuk Peh Weng Khim dan Anggota Lembaga Pengarah Western Digital Malaysia, Datuk Syed Hussian Syed Junid.

Sejumlah 62 individu menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN), yang membawa gelaran Datuk, antaranya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub; Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Mohamad Shakir Abdul Hamid; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dr Mohamad Farazi Johari.

Datuk Bandar MBPP, Yew Tung Seang; Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah dan Ketua Pengarah PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa), Rokibah Abdul Latif.

Turut dianugerahkan DSPN ialah bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang, Ahmad Redza Ghulam Rasool; bekas Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang, Sabri Abdul Mulok; Pengarah Key Management Services Penang Sdn Bhd., Datin Annie Chin Lye Kheng; usahawan G.P Asok Kumar; Duta Besar Malaysia ke Maghribi, Astanah Banu Shri Abdul Aziz.

Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Azhar Mat Easa; Timbalan Presiden dan Pengurus Besar Syarikat Benchmark Electronics Sdn Bhd., Dr S. Balamurugan dan Pengasas dan Setiausaha Kehormat Persatuan Pembeli-pembeli Rumah Kebangsaan (HBA,) Chang Kim Loong.

Selain itu, 44 individu menerima Darjah Johan Negeri (DJN), Bintang Cemerlang Negeri (67), Pingat Kelakuan Terpuji (129), Pingat Jasa Kebaktian (290), Pingat Jasa Masyarakat (306) dan 37 orang menerima Pingat Bakti Setia.

Istiadat penganugerahan tahun ini turut menyaksikan seorang penerima Pingat Gagah Perwira (PGP) iaitu anggota polis bantuan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Konstabel Zaidi Salleh, yang telah menyelamatkan seorang wanita dengan terjun dari jambatan itu ke laut.

-- BERNAMA