Kumpulan ajaran sesat, Panjit Langit, yang ditumpaskan oleh pihak berkuasa di Kampung Chabau, Sabtu lepas, tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti militan berikutan penemuan pelbagai jenis senjata di markas mereka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata siasatan awal polis mendapati kumpulan itu sebenarnya adalah kumpulan ajaran sesat yang taksub berlaku hari kiamat pada 21 Dis lepas.

Katanya senjata yang dirampas di rumah ketua kumpulan berusia 46 tahun itu, yang berasal dari Muar, Johor, hanya digunakan sebagai persediaan apabila berlaku hari kiamat.

"Suspek lelaki yang mendalangi kumpulan ajaran sesat itu tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan militan dan kumpulan itu tidak mempunyai perancangan untuk melakukan serangan atau membuat kekacauan dalam mana-mana perhimpunan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Dalam serbuan pukul 4.30 petang di sebuah rumah banglo, yang dijadikan markas kumpulan itu, polis menahan suspek tersebut serta merampas sejumlah senjata tajam termasuk keris, pedang, parang, pistol serta senapang tiruan.

Turut ditemui topeng gas, khemah, bekalan makanan, ubat-ubatan dan sejumlah peralatan lain.

Chua berkata semua senjata yang dikumpul dipercayai akan digunakan oleh kumpulan itu bagi tujuan persediaan sekiranya berlaku hari kiamat pada 21 Dis lalu.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, suspek yang bergerak aktif sejak setahun lalu mempunyai antara 30 hingga 40 pengikut dan pihak polis kini sedang mengenal pasti identiti mereka.

"Suspek direman selama seminggu sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut bagi menentukan sama ada dia terbabit dalam mana-mana kumpulan militan yang boleh mengancam keselamatan negara.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 7 (1) (a) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 16, Akta Kesalahan Kecil," katanya.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Datuk Mohd Zain Mansor berkata Majlis Fatwa Negeri yang bersidang pada 4 Dis lepas telah mewartakan ajaran Panji Langit itu sebagai ajaran sesat.