Pantau tingkah laku anak, elak jadi mangsa jenayah siber

Ibu bapa digesa supaya lebih peka dalam melakukan pengesanan awal terhadap perubahan aktiviti dan tingkah laku anak-anak bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa jenayah seksual dalam talian serta pemerasan seks. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Ibu bapa digesa supaya lebih peka dalam melakukan pengesanan awal terhadap perubahan aktiviti dan tingkah laku anak-anak bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa jenayah seksual dalam talian serta pemerasan seks (sextortion).
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman SAC Siti Kamsiah Hassan berkata trend jenayah kini tidak hanya berlaku di luar rumah, sebaliknya ancaman siber boleh menyusup masuk ke dalam kediaman melalui peranti digital tanpa disedari keluarga.
Beliau berkata ibu bapa perlu mengenal pasti peralihan aktiviti anak-anak, terutamanya apabila mereka mula kurang berinteraksi secara fizikal dan lebih banyak menghabiskan masa di platform digital atau permainan dalam talian seperti PUBG dan Roblox.
"Dahulu anak-anak mungkin aktif bermain bola di luar tetapi sekarang mereka beralih ke dunia digital. Ibu bapa perlu tahu dengan siapa mereka berkawan dan siapa individu dalam 'lingkaran' digital mereka.
"Jangan sesekali tidak peka atau menganggap anak yang hanya berkurung di bilik itu sebagai 'anak yang baik' tanpa memantau aktiviti mereka," katanya selepas sesi forum Internet Selamat, Tanggungjawab Semua sempena Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 di Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.
HKI 2026 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sempena Hari Keselamatan Internet Antarabangsa yang disambut setiap tahun di lebih 170 negara.
Siti Kamsiah berkata perubahan emosi seperti kerap menyendiri, menangis atau menunjukkan tanda-tanda kemurungan antara petanda awal anak berkemungkinan menjadi mangsa grooming (pancingan pemangsa) atau pemerasan.
"Kita boleh lihat kalau dahulu mangsa lebih banyak menyendiri, malah ada keadaan berlarutan sehingga tiga bulan. Terdapat juga perubahan ketara dari segi tingkah laku dan emosi termasuk sering kelihatan menangis.
"Perubahan ini lazimnya berlaku apabila mangsa telah melalui proses grooming sehingga membawa kepada kejadian sextortion atau pemerasan seks," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Siti Kamsiah mendedahkan statistik jenayah seksual melibatkan kanak-kanak menunjukkan peningkatan membimbangkan, dengan purata 1,500 kes jenayah seksual dilaporkan setiap tahun di seluruh negara.
Beliau berkata kebanyakan kes hanya dikesan apabila sudah berada di peringkat akhir apabila mangsa telah pun mengandung, melarikan diri dari rumah atau dikesan oleh pihak ketiga seperti doktor dan pihak sekolah.
"Kanak-kanak boleh didekati dan dimanipulasi hanya melalui peranti. Jika ibu bapa gagal mengesan perubahan tingkah laku lebih awal, risiko untuk anak-anak mengalami tekanan mental sehingga cenderung mencederakan diri atau membunuh diri adalah sangat tinggi," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar tidak mengambil mudah dan perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan digital bagi mendepani cabaran trend jenayah siber yang semakin kompleks.
Beliau berkata perkara itu amat penting memandangkan terdapat banyak kes melibatkan jenayah seksual kanak-kanak dan buktinya adalah melalui rampasan lebih 880,000 fail digital mengandungi bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam Operasi Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 2.0 setakat September tahun lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


