NATIONAL
Paparan harga ubat: KKM masih pertimbang syor MMA, keputusan hujung bulan ini - Dr Dzulkefly
Dr Dzulkefly (foto) berkata, keputusan KKM mengenai permintaan itu akan diumum kepada Kabinet pada penghujung Mei ini. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih mempertimbang permintaan terkandung dalam memorandum Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang disampaikan menerusi perhimpunan membantah paparan harga ubat pada 6 Mei lalu.
Ringkasan AI
- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mempertimbangkan permintaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) untuk meminda Akta 586 bagi membolehkan paparan harga ubat di klinik swasta dilaksanakan secara sah.
- Keputusan rasmi mengenai permintaan ini dijangka akan diumumkan kepada Kabinet pada penghujung Mei, termasuk isu berkaitan caj konsultasi dan pengamal perubatan swasta.
- Menteri Kesihatan menegaskan bahawa sebarang keputusan akan dibuat secara teliti demi kepentingan rakyat, sambil menunjukkan komitmen KKM untuk responsif terhadap suara pengamal perubatan.
Antara tuntutan MMA adalah pemindaan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) bagi membolehkan pelaksanaan paparan harga ubat di klinik swasta dibuat mengikut undang-undang berkenaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan KKM mengenai permintaan itu akan diumum kepada Kabinet pada penghujung Mei ini.
“Dalam tempoh dua minggu diharap perkara ini dapat diselesaikan.
"Kita akan umum kepada Kabinet dari sudut caj konsultasi, jadual ketujuh Akta 586 (pengamal perubatan) GP swasta, dan sekali gus dengan itu bagaimana kita boleh mengambil satu pendekatan meletakkan penandaan harga ubat di bawah Akta 586.
“Mudah-mudahan penghujung Mei kita dapat selesaikan secara tuntas.
“Saya mahu menunjukkan bahawa kita benar-benar responsif dan dengar apa yang mereka ingin katakan,” katanya dalam sidang media di Institut Kanser Negara Putrajaya pada Selasa.
Tegas Dr Dzulkefly, sebarang keputusan perlu dibuat dengan teliti dan cermat demi kemaslahatan rakyat.