ALOR SETAR: Bacaan paras air dua sungai di Langkawi semakin menyusut berikutan cuaca panas yang berterusan di Kedah.

Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam satu hantaran melalui laman media sosial Facebook memaklumkan sungai berkenaan ialah Sungai Melaka dan Sungai Kuah.

"Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh laman sesawang rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada 4 petang tadi, paras air di Sungai Melaka susut ke 2.50 meter berbanding paras normal iaitu 2.90 meter. Paras air di Sungai Kuah pula 0.26 meter berbanding paras normal iaitu 1.50 meter," menurut syarikat itu.

SADA turut memaklumkan sumber air mentah iaitu air sungai merupakan unsur penting dalam keseluruhan proses rawatan air dan tanpa sumber air mentah yang mencukupi dari aspek kuantiti dan kualiti, loji rawatan air (LRA) tidak dapat beroperasi pada kadar normal.

"Sungai Melaka yang menjadi sumber bekalan air mentah utama untuk LRA Padang Saga 3 dan LRA Bukit Kemboja mula mengalami kemerosotan sejak seminggu yang lepas dan keadaan itu berterusan hingga hari ini.

"Sebarang aduan atau pertanyaan, boleh menghubungi talian 1300-88-0017 atau Bilik Gerakan Langkawi 04-9610546. Maklumat berkenaan gangguan bekalan air akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui Facebook, TikTok dan laman sesawang rasmi SADA iaitu www.sada.com.my," katanya.

-- BERNAMA