MALAYSIA

Paras air Sungai Serai di Hulu Langat melepasi paras bahaya

Astro Awani 04/09/2025 | 13:24 MYT
Antara rumah yang dinaiki air banjir berhampiran Sungai Serai di Batu 12, Hulu Langat pada Khamis petang. - Gambar Info Warga Hulu Langat
HULU LANGAT: Sebatang sungai di daerah ini mencatat aras air melepasi paras bahaya, setakat jam 9.38 malam, pada Khamis.

Sungai Serai di Batu 12 merekodkan bacaan 43.85 meter iaitu melepasi paras bahaya 42.4 meter, berdasarkan maklumat dari laman sesawang InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sementara itu, stesen JPS di Batu 12 menunjukkan jumlah hujan terkumpul sebanyak 10 millimeter dari pukul 12 tengah malam setakat catatan pada jam 9.08 malam, pada Khamis.

.


Tinjauan di media sosial mendapati beberapa kediaman berhampiran sungai mula dinaiki air lumpur dengan kedalaman menghampiri paras lutut, penduduk melakukan persediaan untuk memindahkan barang berharga sekiranya situasi bertambah buruk.

Dalam satu video yang menjadi tular, turut kedengaran bunyi siren menandakan air sungai sudah melepasi paras bahaya dan masyarakat diminta berwaspada.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata aras air di Sungai Serai ketika ini dilihat sudah surut.

"Sebarang perkembangan akan dipantau dari semasa ke semasa," ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI.



#Banjir Hulu Langat #Jabatan Pengairan dan Saliran #Sungai Serai #hujan lebat