[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Paras sungai di Kelantan meningkat, APM tingkat pemantauan

Bernama 25/11/2025 | 20:40 MYT
Muhammad Abiddin berkata episod pertama hujan lebat MTL ketika ini telah menjejaskan beberapa daerah termasuk Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh. - Facebook APMM
KOTA BHARU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pemantauan paras sungai utama di Kelantan yang menunjukkan trend peningkatan susulan hujan berterusan di negeri ini sejak episod pertama Monsun Timur Laut (MTL) bermula pada minggu lepas.

Ketua Pesuruhjaya APM Muhammad Abiddin Abd Rahman berkata pemantauan rapi di lapangan melibatkan agensi penyelamat dan jabatan teknikal amat penting bagi memastikan tindakan segera dapat diambil jika berlaku situasi kritikal.

"Beberapa sungai utama di Kelantan kini berada pada paras yang memerlukan perhatian berterusan. Hujan masih berlarutan dan keadaan ini meningkatkan risiko limpahan, khususnya di kawasan rendah," katanya ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Islah di sini semalam.

Beliau berkata episod pertama hujan lebat MTL ketika ini telah menjejaskan beberapa daerah termasuk Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.

Mengulas tentang kesiapsiagaan, Muhammad Abiddin berkata sebanyak 1,200 pegawai dan anggota APM telah diaktifkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan, selain 91 aset darat dan air seperti bot fiber, bot tempur dan lori pelbagai guna berada dalam keadaan siap siaga.

-- BERNAMA
#paras air sungai #APM #hujan lebat #monsun timur laut