BALING: Bilangan mangsa banjir dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Kompleks Rakan Muda Batu 42 bertambah kepada 154 orang berbanding 151 mangsa malam tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, bilangan itu melibatkan 49 keluarga berbanding 47 keluarga selepas terdapat mangsa dipindahkan lewat tengah malam tadi apabila kediaman mereka dimasuki air.

Beliau berkata, kampung yang terjejas akibat banjir kilat adalah Kampung Carok Sikin, Paya dan Tanjung Merbau.

“Pagi ini tidak hujan tetapi semua mangsa tidak dibenarkan pulang berikutan cuaca mendung dan keadaan rumah mereka masih digenangi air dan tidak selamat.

“Kita bimbang sekiranya hujan turun mereka terpaksa berpindah semula, jadi untuk sementara mereka perlu tinggal di PPS sehingga keadaan selamat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Setakat jam 8 pagi tadi Sungai Ketil di Kampung Padang Pulai, Baling berada pada paras bacaan 15.9 meter (m) iaitu melepasi tahap amaran 15.8m. - Foto APM

Mohd Faizol berkata, anggota APM masih melakukan pemantauan di kawasan terjejas banjir bagi memastikan mangsa segera dipindahkan sekiranya kawasan penduduk dinaiki air.

Katanya, setakat jam 8 pagi tadi Sungai Ketil di Kampung Padang Pulai, Baling berada pada paras bacaan 15.9 meter (m) iaitu melepasi tahap amaran 15.8m.

“Air di sungai berkenaan menunjukkan trend menaik dan berkemungkinan besar kawasan rendah akan dinaiki air,” ujarnya.