IPOH: Pihak polis memberi kelonggaran dengan tidak mengenakan saman kepada orang ramai yang meletakkan kenderaan di luar pekarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A Sivanesan yang mengakui telah mengadakan perjumpaan bersama Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, ia tertakluk kepada beberapa syarat iaitu kenderaan tidak menghalang lalu lintas dan tidak diletakkan secara ‘double parking’.

"Saya sudah minta kerjasama daripada pihak polis supaya tidak keluarkan saman terhadap pelawat hospital HRPB dan beri kelonggaran sehingga Mei nanti, selepas tempat parkir baharu siap.

"Menurut Ketua Polis Perak, beliau akan ambil perhatian perkara itu, tetapi jika ada 'double parking’ tidak dibenarkan sama sekali dan jangan halang lalu lintas.

"Jadi, untuk tempoh sebulan setengah ini, saya percaya pihak polis akan beri kerjasama sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita susulan hasil perjumpaan beliau dan Mohd Yusri berhubung isu tersebut.

Dalam pada itu, berhubung perjumpaan dengan Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berhubung isu sama, Sivanesan berkata, janji temu dijadual pada 11 April ini.

"Hari ini saya hanya bincang dengan Ketua Polis Perak, (dengan) MBI (Majlis Bandaraya Ipoh) pula, saya ada janji temu dengan Rumaizi Selasa depan," katanya pada sidang media selepas majlis berbuka puasa bersama media, di sini, malam tadi.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan negeri akan berbincang dengan Polis Perak dan MBI untuk memohon pertimbangan supaya tidak mengeluarkan saman kepada orang ramai yang meletakkan kenderaan di luar pekarangan HRPB.

Terdapat rungutan dan keluhan orang ramai berhubung isu parkir yang tidak berkesudahan, selain mereka sering disaman kerana meletakkan kenderaan di tepi jalan dekat hospital.

Kawasan parkir perkhidmatan van shuttle yang ada sebelum ini ditutup bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan parkir baharu yang lebih sistematik.

Parkir baharu dengan kapasiti 240 petak itu dijangka siap pada pertengahan Mei tahun ini.