PUTRAJAYA: Kawasan Parlimen Bangi mencatatkan jumlah penduduk tertinggi antara 222 kawasan Parlimen di Malaysia iaitu 691,900 orang, menurut Statistik Subnasional Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2023 terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

Ini diikuti Parlimen Kota Raja dengan 526,400 orang dan Parlimen Subang sebanyak 481,100 orang.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata kawasan Parlimen berpopulasi paling padat ialah Wangsa Maju dengan jumlah populasi 13,224 orang bagi setiap satu kilometer persegi.

"Ini diikuti Pandan dengan kepadatan populasi 11,442 orang per kilometer persegi dan Jelutong dengan 11,361 orang," katanya.

Bagi komposisi populasi mengikut kumpulan etnik utama, Mohd Uzir berkata Setiu mempunyai 99.6 peratus penduduk Bumiputera tertinggi diikuti Hulu Terengganu (99.5 peratus) dan Jeli (99.4 peratus).

Kepong merekodkan penduduk daripada etnik Cina teramai dengan 72.5 peratus manakala etnik India terbanyak dicatatkan di Ipoh Barat iaitu 25.9 peratus, katanya.

"Kawasan Parlimen Putrajaya, Gua Musang dan Tumpat adalah tiga kawasan Parlimen di Malaysia yang merekodkan penduduk umur muda tertinggi iaitu masing-masing, 37.2 peratus, 35.8 peratus dan 33.5 peratus," katanya. (Penduduk umur muda merujuk kepada usia 14 tahun dan ke bawah)

Beliau berkata tiga kawasan Parlimen di Selangor memiliki peratus penduduk tua tertinggi iaitu berumur 65 tahun dan ke atas iaitu Sabak Bernam pada 22.4 peratus, Sungai Besar (19.7 peratus) dan Tanjong Karang (18.3 peratus).

Katanya, pelbagai statistik terpilih di peringkat Parlimen dan DUN yang terdiri daripada maklumat asas;penduduk; perumahan; guna tenaga; pendapatan isi rumah; pendidikan; kesihatan; kemiskinan; keselamatan awam; Internet dan media sosial, kemudahan asas dan bilangan pertubuhan serta syarikat perniagaan boleh dirujuk dalam penerbitan Statistik Subnasional Parlimen dan DUN 2023 tersebut.

-- BERNAMA