Parlimen Belia Malaysia (PBM) yang bakal bersidang April 2014 tidak ada sifat partisan politik, Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata.

Menurut beliau, tidak ada kuota yang dikhaskan oleh mana-mana parti politik bagi persidangan tersebut.

"Sebab itu kita buat secara terbuka cara pendaftaran bagi pemilih atau pengundi parlimen belia ini dan tidak ada mana-mana kuota yang dikhaskan oleh mana-mana parti politik," beliau memberitahu Dewan Rakyat pada Isnin.

Katanya, struktur serta objektif PBM adalah untuk melahirkan pemimpin-pemimpin muda yang mempunyai keterbukaan dari segi pemikiran mereka.

Jelas Khairy, kerajaan tidak berhasrat untuk mengenakan kongkongan dari segi topik dan ulasan serta kecenderungan politik mereka yang dipilih.

"Ini adalah parlimen terbuka yang tidak ada partisan politik dalam parlimen tersebut.

"Ini adalah cara terbaik untuk memastikan idea yang terbaik dapat dibincangkan dalam parlimen belia tanpa mereka terikat kepada pemikiran partisan daripada mana-mana pihak,” kata Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Menurut Khairy, kerajaan mahu melihat ada kesinambungan kepada mereka yang dipilih sebagai Ahli Parlimen Belia supaya mereka terus dibangunkan dan dilatih untuk menjadi pemimpin masa hadapan.

"Saya amat yakin bahawa mereka yang akan bertanding dan akan menjadi Ahli Parlimen Belia mempunyai ciri-ciri pemimpin masa hadapan buat negara kita," katanya.

Jelasnya, kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 200,000 orang muda diseluruh negara yang berumur antara 15 hingga 40 tahun untuk mendaftar sebagai pengundi bagi PBM, manakala calon-calon PBM mestilah antara 18 hingga 30 tahun.

Sementara itu, Khairy ketika ditemui di luar dewan berkata, pemilihan bagi speaker PBM akan dibuat selepas pemilihan belia dan kemungkinan ianya di kalangan ahli PBM yang akan dilantik oleh beliau sendiri.

“Saya cadangkan parlimen belia bersidang setahun sekali, tetapi kalau ada keperluan untuk kita tambah bilangan mensyuarat ahli parlimen belia, maka kita boleh pertimbangkan.

“Bagaimanapun, kita akan anjurkan pelbagai lagi program bagi ahli-ahli parlimen belia ini supaya mereka aktif sepanjang tahun,” tambah beliau.

Terdahulu, Khairy memberitahu Dewan Rakyat bahawa persidangan pertama PBM dijangka akan dilaksanakan pada April 2014 manakala pemilihannya pula pada Februari 2014.